Jelajah India ujian akhir Young Tigers ke Piala Remaja Asia 2026

Foto FB MHC

KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Siri jelajah ke Bangalore, India menjadi medan persiapan terakhir buat skuad hoki remaja lelaki kebangsaan atau ‘Young Tigers’ sebelum menghadapi Kejohanan Piala Remaja Asia 2026 di Moqi, China, September depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasukan membawa 22 pemain untuk siri jelajah ke India sebagai peluang penilaian sebelum senarai akhir 20 pemain dimuktamadkan.
  • Jelajah melibatkan lapan perlawanan ujian, tiga menentang Akademi Sukan India dan lima bertemu skuad Remaja India B20.
  • Latihan tumpu aspek taktikal, perkemaskan corak serangan dan pertahanan, kekal cergas serta elak kecederaan menjelang kejohanan.

Skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin berlepas ke India hari ini bagi meneruskan fasa persediaan dengan mengharungi lapan perlawanan ujian bermula 1 hingga 15 Ogos.

Daripada jumlah itu, tiga aksi menentang Akademi Sukan India (SAI) manakala lima lagi berdepan Skuad Remaja India Bawah 20 Tahun (B20), yang dijangka menjadi ujian penting mengukur tahap kemampuan pemain sebelum kejohanan sebenar.

Menurut Nor Saiful, siri jelajah berkenaan memberi peluang untuk menilai prestasi pemain sebelum senarai akhir 20 pemain dimuktamadkan bagi membawa cabaran negara di Piala Remaja Asia 2026.

“Kami membawa 22 pemain untuk siri jelajah ke India ini sebagai salah satu cara penyediaan pasukan kepada pertandingan sebenar di Piala Remaja Asia nanti.

“Ini jelajah kedua selepas Jepun tempoh hari, jadi ia akan menjadi pelarasan terakhir sebelum Piala Remaja Asia. Ia juga medan penilaian kepada kesemua 20 pemain,” katanya.

Beliau berkata, pasukan turut memberi tumpuan kepada aspek taktikal terutama dalam memperkemaskan corak serangan dan pertahanan selain meningkatkan tahap persediaan menghadapi lawan berintensiti tinggi.

Nor Saiful dalam masa sama berharap kesemua pemain dapat mengekalkan tahap kecergasan dan terhindar daripada sebarang kecederaan menjelang kejohanan yang semakin hampir.

Young Tigers sebelum ini telah menjalani siri persiapan di Jepun dan kini menjadikan pengalaman kedua-dua jelajah antarabangsa itu sebagai bekalan penting untuk membentuk pasukan lebih mantap, kompetitif serta bersedia menghadapi cabaran di Moqi, China.

Kejohanan Piala Remaja Asia 2026 dijadual berlangsung dari 4 hingga 13 September ini, dengan saingan berkenaan turut menjadi medan penting bagi skuad remaja negara menguji kemampuan menentang pasukan terbaik Asia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.