
KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Pasukan skuasy wanita Malaysia gagal dalam usaha mereka untuk merangkul kejuaraan sulung Kejohanan Berpasukan Remaja Dunia (WJTC) selepas tewas 0-2 kepada juara bertahan, Mesir, dalam perlawanan akhir di Ontario, Kanada, pada Jumaat.
- Malika Elkaraksy memberi mata pertama bagi Mesir selepas menewaskan Whitney Wilson 11-7, 11-5, 12-10.
- Habiba Rizk, 16, mengesahkan kejuaraan dengan menewaskan Doyce Ye San Lee 11-2, 11-3, 11-3.
- Mesir terus dominan: wanita raih gelaran berpasukan 11 kali berturut-turut, lelaki menjuarai WJTC tiga kali berturut-turut.
Mesir mendapat mata pertama menerusi Malika Elkaraksy, yang menewaskan Whitney Wilson 11-7, 11-5, 12-10 selepas bangkit semula pada pusingan ketiga.
Memerlukan hanya satu lagi kemenangan untuk mengekalkan gelaran, Habiba Rizk yang berusia 16 tahun terbukti terlalu kuat untuk Doyce Ye San Lee, apabila mengesahkan kejuaraan dengan kemenangan bergaya 11-2, 11-3, 11-3.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia menamatkan saingan sebagai naib juara buat kali keenam, menyamai pencapaian terbaik mereka dalam kejohanan tersebut manakala Mesir meneruskan penguasaan luar biasa mereka dengan memenangi gelaran berpasukan wanita ke-11 berturut-turut bagi kali ke-13.
Dalam pada itu, Mesir juga melakar sejarah meraih gelaran WJTC lelaki kali kesembilan dengan kemenangan meyakinkan 2-0 ke atas Amerika Syarikat.
Mohamad Zakaria memulakan rentak dalam perlawanan pembukaan dengan kemenangan straight set ke atas Yaseen Shalaby 11-5, 11-6, 11-4.
Seifeldin Refaay kemudian melengkapkan kemenangan apabila menewaskan Brendan Tagliarini 11-3, 11-5, 11-3 untuk memastikan gelaran WJTC kali ketiga berturut-turut bagi pasukan lelaki Mesir.- BERNAMA