Komanwel Glasgow 2026: Izzah buktikan mampu bersaing dengan medalis Olimpik

Foto MSN

GLASGOW, 1 Ogos – Pelumba berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Muhammad Asri menyifatkan keupayaannya bersaing sebaris dengan pelumba yang pernah meraih pingat Olimpik sebagai antara perkembangan terbesar dalam kariernya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Izzah menamatkan saingan pecut di tempat keempat selepas tewas kepada Sophie Capewell dalam separuh akhir.
  • Beliau kecewa terlepas peluang meraih pingat tetapi anggap pengalaman itu pengajaran untuk saingan akan datang.
  • Izzah akan fokus kepada final 1,000 meter ujian masa wanita, kemudian meneruskan cabaran acara keirin pada Ahad.

Izzah menamatkan saingan pecut di tempat keempat pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 selepas tewas kepada pelumba England, Sophie Capewell dalam saingan separuh akhir.

Izzah memenangi perlumbaan pertama sebelum tewas pada perlumbaan kedua dan penentuan.

“Saya dapat buktikan bahawa saya mampu bersaing dengan pelumba yang pernah meraih pingat Olimpik. Bagi saya, ini antara perkembangan terbesar dalam karier kerana saya mampu beraksi dengan baik,” katanya.

Izzah bagaimanapun mengakui kecewa kerana terlepas peluang meraih pingat selepas berjaya melangkah ke kelompok empat terbaik namun menganggap pengalaman itu sebagai pengajaran untuk menghadapi saingan seterusnya.

“Memang kecewa sebab kami sudah hampir untuk mendapatkan pingat, tinggal satu langkah sahaja lagi. Ia memberi impak yang besar kepada saya, tetapi saya ambil ini sebagai satu pengajaran dan akan teruskan ke acara seterusnya,” katanya.

Izzah akan mengalihkan fokus kepada final acara 1,000 meter ujian masa wanita sebelum meneruskan cabaran dalam acara keirin pada Ahad.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.