
KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Kontinjen Malaysia berjaya melepasi sasaran pingat pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 selepas mengumpul tujuh emas, tiga perak dan tiga gangsa setakat hari ini.
- Tahniah kepada kontinjen atas pencapaian membanggakan hasil kerjasama semua pihak memantapkan pembangunan sukan berprestasi tinggi negara.
- Perjuangan belum berakhir, rakyat digesa terus memberi sokongan dan doa kepada atlet yang masih beraksi.
- Pencapaian di Glasgow diharap jadi pencetus lebih banyak kejayaan antarabangsa, disokong komitmen KBS memperkukuh ekosistem sukan negara.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata pencapaian itu melangkaui sasaran awal negara iaitu lima emas, dua perak dan empat gangsa.
Beliau turut menzahirkan tahniah kepada seluruh kontinjen atas pencapaian yang membanggakan, selain menyifatkannya sebagai hasil kerjasama semua pihak dalam memperkukuh pembangunan sukan berprestasi tinggi negara.
“Kejayaan ini juga mencerminkan kekuatan ekosistem sukan negara, hasil kerjasama erat antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), persatuan-persatuan sukan kebangsaan serta semua pihak yang sentiasa komited dalam pembangunan sukan berprestasi tinggi di Malaysia,”katanya menerusi hantaran Facebook rasmi KBS hari ini.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan perjuangan kontinjen negara masih belum berakhir memandangkan temasya berkenaan masih berlangsung, sambil menyeru rakyat Malaysia terus memberikan sokongan dan mendoakan kejayaan atlet negara yang masih beraksi.
Dr Mohammed Taufiq berkata, pencapaian di Glasgow diharap menjadi pencetus kepada lebih banyak kejayaan di pentas antarabangsa, terutama menjelang Sukan Asia dan Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 pada September ini, sebelum menghadapi cabaran Sukan SEA serta Sukan Para ASEAN Malaysia 2027.
KBS turut menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh ekosistem sukan negara dalam melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia serta mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.