Pengampunan Najib: Keputusan rayuan Majlis Peguam Negara ditangguh mahkamah

Foto RTM

PUTRAJAYA, 31 Julai Keputusan rayuan Majlis Peguam terhadap Mahkamah Tinggi yang memutuskan menolak permohonan kebenaran memulakan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara dan denda Datuk Seri Najib Razak bagi kes SRC International Sdn Bhd ditangguh Mahkamah Rayuan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Panel tiga hakim mendengar hujah peguam Majlis Peguam, Peguam Negara dan peguam Najib.
  • Hakim berkata memerlukan masa untuk meneliti perkara dan menetapkan 7 Ogos untuk pengurusan kes.
  • Mahkamah Tinggi menolak permohonan Majlis Peguam untuk kebenaran semakan kehakiman pada November 2024.
  • Majlis Peguam memohon deklarasi bahawa pengurangan hukuman dan denda Najib oleh Lembaga Pengampunan adalah tidak sah dan batal.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Lim Chong Fong menangguhkan keputusan itu selepas mendengar hujah daripada peguam Datuk Yeo Yang Poh dan Zainur Zakaria bagi pihak Majlis Peguam, Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi yang mewakili Peguam Negara, serta peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Hakim Datuk Lim berkata, pihaknya memerlukan masa untuk meneliti perkara tersebut dan menetapkan 7 Ogos untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh penyampaian keputusan.

Permohonan Majlis Peguam untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Lembaga Pengampunan telah ditolak Mahkamah Tinggi pada November 2024.

Sebelum ini, Datuk Yeo berhujah bahawa keputusan Lembaga Pengampunan boleh dicabar di mahkamah.

“Permohonan semakan kehakiman ini bukan untuk menyemak kuasa Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya bagi mencabar keputusan Lembaga Pengampunan. Adalah penting kebenaran diberikan pada peringkat ini.

“Kami memohon rayuan ini dibenarkan dan kes ini dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran substantif,” katanya sambil menambah bahawa perkara yang dibawa oleh perayu bukanlah remeh.

Sementara itu, Ahmad Hanir berhujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan yang tepat selepas mendapati permohonan berkenaan tidak boleh diadili dan bersifat dangkal.

Katanya, di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, kuasa prerogatif tidak tertakluk kepada semakan kehakiman.

Susulan itu, pihak Peguam Negara berhujah bahawa jika keputusan memberikan pengampunan tidak tertakluk kepada semakan kehakiman, maka proses yang membawa kepada keputusan itu juga tidak tertakluk kepada semakan kehakiman.

Muhammad Shafee menerima pakai hujah Ahmad Hanir.

Pada 26 April lalu, Majlis Peguam memfailkan semakan kehakiman itu dengan menamakan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya serta Najib sebagai responden.

Ia memohon deklarasi bahawa keputusan Lembaga Pengampunan pada 29 Januari lalu berhubung permohonan Najib untuk mengurangkan separuh daripada hukuman penjaranya, yang menyaksikan beliau dibebaskan lebih awal iaitu pada 23 Ogos 2028, adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan batal.

Majlis Peguam juga memohon deklarasi bahawa keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan denda Najib daripada RM210 juta kepada RM50 juta, adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan batal.

Pengurangan itu disertakan syarat bahawa kegagalan membayarnya akan melanjutkan tempoh penjara beliau selama setahun, yang menyebabkan pembebasan awal pada 23 Ogos 2029.

Najib, 73, telah menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.

Beliau telah memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022 yang menyaksikan Lembaga Pengampunan mengurangkan separuh hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun serta denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.