
KUALA LUMPUR, 31 Julai – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seorang juruterbang warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas disyaki cuba menyeludup kira-kira 25 kilogram (kg) dadah ke negara itu.
- Pegawai kastam Indonesia mengesan bagasi mencurigakan melalui mesin pengimbas sinar-X, mencetuskan pemeriksaan lanjut.
- Pemeriksaan menemukan 14 bungkusan besar pil ekstasi dan satu bungkusan syabu, ditemui dalam bagasi tersebut.
- Suspek mengaku menjadi keldai dadah untuk sindiket antarabangsa; pihak berkuasa Indonesia meneruskan siasatan mengenal pasti rangkaian.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki berusia 39 tahun itu dipercayai berlepas dari Kuala Lumpur sebelum ditahan sejurus tiba di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, pada malam Selasa.
Beliau berkata, PDRM telah dimaklumkan mengenai penahanan berkenaan dan kini sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak berkuasa Indonesia.
Sementara itu, media tempatan Indonesia melaporkan dadah berkenaan ditemukan selepas pegawai kastam mengesan sebuah bagasi yang mencurigakan ketika melalui pemeriksaan mesin pengimbas sinar-X.
Hasil pemeriksaan lanjut menemukan 14 bungkusan besar pil ekstasi dan satu bungkusan syabu dengan anggaran berat keseluruhan kira-kira 25kg.
Menurut laporan itu, siasatan awal mendapati suspek mengaku bertindak sebagai keldai dadah bagi sindiket penyeludupan dadah antarabangsa.
Pihak berkuasa Indonesia kini meneruskan siasatan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan berkenaan.