
RABAT, 31 Julai – Ribuan pendatang asing cuba memasuki wilayah enklaf Sepanyol, Ceuta dan Melilla, sekali gus mencetuskan rusuhan di beberapa bandar sempadan Maghribi pada Khamis.
- Sekurang-kurangnya 49,000 migran berjaya memasuki Ceuta, manakala ribuan lagi masih berhimpun di sempadan Maghribi.
- Rusuhan paling teruk di Fnideq: tiga kenderaan dibakar dan beberapa individu termasuk anggota keselamatan cedera.
- Sekurang-kurangnya 19 mayat ditemui di perairan sekitar Ceuta dipercayai akibat cubaan menyeberangi sempadan.
Insiden paling buruk dilaporkan di Fnideq, bandar yang bersempadan dengan Ceuta, apabila ribuan pendatang asing berhimpun berhampiran pintu sempadan.
Dalam rusuhan itu sekurang-kurangnya tiga kenderaan dibakar yang turut menyebabkan beberapa individu termasuk anggota keselamatan cedera.
Di Beni Ansar, berhampiran Melilla, ratusan lagi pendatang asing cuba memasuki wilayah Sepanyol melalui pintu masuk utama, pagar sempadan dan laluan pesisir pantai.
Susulan itu, pihak berkuasa Maghribi mengerahkan anggota keselamatan tambahan serta menggunakan meriam air bagi menyuraikan kumpulan berkenaan selepas laluan masuk ke Ceuta dipenuhi migran.
Dalam pertembungan itu, sebahagian migran dilaporkan membaling objek ke arah anggota keselamatan.

Gelombang kemasukan migran itu disifatkan antara yang terbesar pernah direkodkan apabila sekurang-kurangnya 49,000 migran berjaya memasuki Ceuta melalui laluan darat dan laut, manakala ribuan lagi masih berhimpun di bahagian sempadan Maghribi.
Sementara itu, sekurang-kurangnya 19 mayat ditemukan di perairan sekitar Ceuta setakat Jumaat.
Kematian itu dipercayai berpunca daripada cubaan menyeberangi sempadan dan bukan akibat rusuhan.
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, dijadual melawat Ceuta bagi meninjau keadaan di lintasan sempadan Tarajal – VIORY