Pengurus Newcastle Eddie Howe lepas jawatan serta-merta

Bekas Pengurus Newcastle, Eddie Howe, / REUTERS

LONDON, 31 Julai – Jurulatih Al-Ahli, Matthias Jaissle bakal mengambil alih tugas sebagai pengurus Newcastle United susulan keputusan mengejut Eddie Howe melepaskan jawatannya serta-merta, menurut laporan media Inggeris pada Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Eddie Howe melepaskan jawatan serta-merta selepas lima tahun menerajui Newcastle.
  • Beliau membawa Newcastle menjuarai Piala Liga 2025 dan layak ke Liga Juara Eropah 2023 serta 2025.
  • Kelab lalui perbincangan 48 jam; beberapa laporan menyebut Howe mahu berehat sebentar daripada pengurusan.
  • Alan Shearer menyatakan penjualan pemain tonggak seperti Isak, Tonali dan Gordon, serta kegagalan pembelian, mungkin faktor utama.

Pengendali berusia 48 tahun itu meninggalkan The Magpies selepas lima tahun mengemudi pasukan berkenaan.

Howe berjaya membantu Newcastle menamatkan kemarau trofi domestik selama 7 dekad selepas menjuarai Piala Liga pada 2025.

Beliau turut membawa Newcastle layak ke saingan Liga Juara Eropah pada 2023 dan 2025.

Portal berita Sky Sports melaporkan keputusan itu dibuat hasil perbincangan antara Howe dan pengurusan tertinggi kelab sepanjang 48 jam lepas.

Beberapa media tempatan melaporkan Howe menyatakan hasrat kepada pihak kelab untuk berehat seketika daripada bidang pengurusan bola sepak.

Bekas penyerang Newcastle dan England, Alan Shearer, menerusi ruangan kolum BBC menyuarakan penghargaan terhadap sumbangan Howe selain membayangkan isu penjualan pemain tonggak serta kegagalan mendapatkan pemain sasaran pada perpindahan musim ini sebagai faktor utama keputusan berkenaan.

“Peletakan jawatan Eddie adalah kejutan terbesar bagi saya, Tindakan tersebut tiga minggu selepas latihan pramusim bermula dan hanya berbaki tiga minggu sebelum kempen Liga Perdana bermula semula.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku di sebalik tabir. Namun pada pandangannya, beliau melihat pemain-pemain terbaiknya dijual… Beliau mungkin berasakan tugas ini semakin sukar,” kata Shearer.

Newcastle sebelum ini menjual penyerang Sweden, Alexander Isak, ke Liverpool tahun lepas, selain melepaskan pemain tengah Itali, Sandro Tonali, ke Tottenham Hotspur dan pemain sayap England, Anthony Gordon, ke Barcelona.

Manakala kapten pasukan Bruno Guimaraes turut berdepan spekulasi bakal mengikut jejak langkah kedua-dua pemain.

Peletakan jawatan Howe menyusul selepas kelab itu melalui kempen mengecewakan musim lepas apabila sekadar menamatkan saingan Liga Perdana di kedudukan ke-12 selepas mencatatkan 17 kekalahan daripada 38 perlawanan.

Perlawanan terakhir Howe adalah ketika kekalahan 1-4 dalam aksi pramusim menentang Bristol City pada Rabu.

Sementara itu, pengendali baharu, Jaissle ketika ini mengendalikan kelab Liga Pro Arab Saudi, Al- Ahli, yang menyaksikan kedua-dua kelab berkenaan dimiliki oleh Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.