PM seru pengundi Negeri Sembilan beri mandat kepada PH

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 31 Julai — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru pengundi di Negeri Sembilan supaya keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) esok, selain memberi mandat kepada Pakatan Harapan (PH) bagi meneruskan agenda kestabilan dan pertumbuhan negeri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menggesa semua lapisan masyarakat guna hak mengundi demi kesinambungan pentadbiran dan kesejahteraan rakyat.
  • Himbauan khusus kepada majoriti Muslim serta komuniti Cina, India dan Orang Asli untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
  • Memohon pertimbangan supaya diberikan peluang kepada Pakatan Harapan meneruskan khidmat, menjamin kestabilan dan memacu pertumbuhan bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan MADANI.
  • Mengakui wujud pelbagai pandangan dan kemungkinan keterlanjuran semasa berkempen, menyeru semua pihak bermaaf-maafan dan memulihkan perpaduan selepas pilihan raya.

Menerusi perkongsian di Facebook, Datuk Seri Anwar yang juga Pengerusi PH menggesa seluruh lapisan masyarakat agar menggunakan hak mengundi demi memastikan kesinambungan pentadbiran yang mampu membawa kesejahteraan kepada rakyat.

“Kepada penduduk dan pengundi Negeri Sembilan, terutama majoriti Muslim dan rakan-rakan kita dalam kalangan Cina, India dan Orang Asli, marilah kita menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Mewakili Pakatan Harapan, mohon pertimbangan supaya diberikan peluang kepada Pakatan Harapan untuk meneruskan khidmat, menjamin kestabilan dan memacu pertumbuhan yang akan memberi jaminan kesejahteraan kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan MADANI,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar mengakui sepanjang tempoh berkempen pelbagai pandangan dan pendapat telah dikemukakan, selain tidak menolak kemungkinan berlaku keterlanjuran dalam kalangan pihak yang terlibat.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar saling bermaafan dan kembali menjalinkan hubungan yang baik demi memupuk perpaduan serta kesejahteraan rakyat selepas proses pilihan raya berlangsung.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.