
KUALA LUMPUR, 31 Julai — Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang membangunkan platform analitik data raya yang akan ditawarkan kepada pemaju swasta bagi menambah baik perancangan projek perumahan serta menangani isu ketidakpadanan antara tawaran dan permintaan pasaran.
- Platform analitik boleh dilanggan pemaju untuk kajian kebolehlaksanaan berdasarkan data sebenar, bukan andaian, bagi mengurangkan ketidakpadanan pasaran.
- Inisiatif sebahagian transformasi digital KPKT untuk mewujudkan pasaran perumahan lebih mampan; platform akan dibuka kepada sektor swasta bila siap.
- Kementerian mengkaji keperluan perumahan M40 dan menubuhkan pasukan petugas untuk menilai kos pematuhan terhadap pemaju tanpa menjejaskan kepentingan awam.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, platform berkenaan boleh dilanggan oleh pemaju bagi membolehkan kajian kebolehlaksanaan projek dibuat berdasarkan data serta permintaan pasaran sebenar, bukannya andaian.
Menurut beliau, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha transformasi digital KPKT ke arah mewujudkan pasaran perumahan yang lebih mampan.
“Kami percaya untuk memastikan pasaran perumahan yang mampan, beberapa isu utama perlu diselesaikan. Pertama ialah isu kebolehbankan yang dikenal pasti menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP). Seperti yang telah saya kongsikan, skim itu telah membantu kira-kira 95,000 pembeli rumah.
“Kedua, kami percaya data adalah emas. Malaysia bukan berdepan masalah bekalan atau permintaan, sebaliknya berlaku ketidakpadanan apabila rumah yang dibina tidak memenuhi keperluan pasaran.
“Apabila platform analitik data ini siap sepenuhnya, ia akan dibuka kepada sektor swasta,” katanya ketika berucap pada Forum AREC 2026: Rethinking Real Estate: Housing With Hearts di ibu negara.
Dalam perkembangan sama, Nga berkata kementerian turut mengkaji keperluan perumahan bagi kumpulan berpendapatan sederhana (M40) bagi memastikan pembangunan perumahan pada masa hadapan lebih menepati permintaan pasaran.
Katanya, sebuah pasukan petugas khas yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KPKT turut ditubuhkan bagi mengkaji kos pematuhan yang dikenakan terhadap pemaju, sekali gus menyelaras keperluan berkenaan tanpa menjejaskan kepentingan awam.