
GLASGOW, 30 Julai – Kerjasama erat antara persatuan sukan kebangsaan, Majlis Sukan Negara (MSN), atlet serta barisan kejurulatihan menjadi faktor utama di sebalik kejayaan cemerlang skuad angkat berat negara meraih lima pingat emas pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.
- Sasaran lima pingat emas tercapai lebih awal, membuktikan perancangan berada pada landasan tepat.
- Tahniah kepada semua atlet serta presiden persekutuan atas usaha merealisasikan sasaran.
- Lima pingat emas daripada angkat berat luar biasa kerana biasanya hanya sumbang dua hingga tiga emas.
- Walaupun kontinjen lebih kecil, negara masih berpeluang menambah kutipan pingat dalam acara lain.
Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Dr Nur Azmi Ahmad berkata pencapaian itu membuktikan perancangan yang dirangka berada pada landasan tepat, sekali gus membantu kontinjen negara mencapai sasaran lima pingat emas lebih awal daripada jangkaan.
“Tahniah kepada skuad angkat berat kerana membantu kita mencapai sasaran lebih awal. Sasaran lima pingat emas yang dirancang akhirnya berjaya direalisasikan.
“Saya turut mengucapkan tahniah kepada semua atlet yang berjaya, Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia serta MSN yang berganding bahu memastikan sasaran itu dapat dicapai,” katanya kepada Bernama di sini.
Nur Azmi berkata kejayaan menyumbang lima pingat emas menerusi satu jenis sukan merupakan pencapaian luar biasa memandangkan skuad angkat berat kebiasaannya hanya menyumbang antara dua hingga tiga emas pada temasya itu.
Beliau berkata kejayaan berkenaan lebih membanggakan kerana dicapai walaupun Malaysia menghantar kontinjen yang lebih kecil ke Glasgow.
Lima pingat emas skuad angkat berat disumbangkan oleh Mohamad Aniq Kasdan dalam kategori 60 kilogram (kg) lelaki, Muhamad Aznil Bidin (65kg lelaki), Muhammad Erry Hidayat (79kg lelaki), Muhammad Hafizuddin Roslin (88kg lelaki) dan Mohamad Syahmi Nor Ghazali (94kg lelaki).
Setakat ini, Malaysia mengumpul enam pingat emas termasuk satu menerusi jaguh lompat jauh para Datuk Abdul Latif Romly dalam acara T20 lelaki, selain dua pingat perak dan tiga gangsa yang masing-masing disumbangkan oleh skuad angkat berat, powerlifting para dan olahraga para.
Kontinjen negara sebelum ini menyasarkan kutipan lima pingat emas, dua perak dan empat gangsa pada edisi kali ini.
Malaysia masih berpeluang menambah kutipan pingat pada hari-hari terakhir temasya menerusi beberapa acara yang masih berlangsung, termasuk boling padang, berbasikal trek dan judo.- BERNAMA