Tren elektrik baharu KTMB beroperasi Februari 2027

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Set pertama daripada 12 tren elektrik baharu Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dijangka mula beroperasi pada Februari 2027 selepas memenuhi semua syarat pengoperasian yang ditetapkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

RINGKASAN BERITA AI
  • Set pertama tren akan diterima tahun ini dalam bentuk Completely Knocked Down (CKD); baki 11 set dipasang berperingkat di Depoh Batu Gajah.
  • Setiap tren perlu melalui pemasangan, pengujian teknikal, pentauliahan, pensijilan keselamatan dan ujian perjalanan sebelum dibenarkan beroperasi.
  • Semua ujian dan syarat ditetapkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sebagai pengawal selia keselamatan.
  • Keseluruhan 12 set tren akan meningkatkan kapasiti dan kualiti perkhidmatan KTM Komuter Utara, dengan penempatan fleksibel mengikut keperluan.

Pengerusi KTMB, Datuk Ahmad Redza Abdullah berkata, set pertama tren itu akan diterima tahun ini dalam bentuk Completely Knocked Down (CKD), manakala baki 11 set lagi akan dipasang secara berperingkat di Depoh Batu Gajah.

Menurut beliau, setiap tren baharu perlu melalui proses pemasangan, pengujian teknikal, pentauliahan, pensijilan keselamatan serta ujian perjalanan sebelum dibenarkan beroperasi.

“Kami menjangkakan set tren pertama akan mula beroperasi pada awal tahun hadapan sekiranya tiada sebarang halangan.

“Setiap set tren baharu perlu melepasi beberapa ujian keselamatan dan ujian perjalanan. Ini merupakan syarat yang ditetapkan APAD selaku pengawal selia bagi memastikan tren tersebut selamat digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Meet The Editors bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB di sini.

Datuk Ahmad Redza berkata, tren elektrik baharu itu akan ditempatkan di laluan KTM Komuter Utara bagi menampung peningkatan jumlah penumpang di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, KTMB bersedia menempatkan tren tersebut di lokasi lain termasuk di laluan selatan sekiranya terdapat keperluan dan permintaan.

KTMB dijadual menerima keseluruhan 12 set tren komuter elektrik baharu bagi meningkatkan kapasiti serta kualiti perkhidmatan KTM Komuter Utara.

Dalam perkembangan lain, KTMB akan mempertimbangkan cadangan kadar diskaun khas kepada pengamal media yang menggunakan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS).

Ujar Datuk Ahmad Redza, pihaknya terbuka untuk membincangkan perkara berkenaan di peringkat pengurusan tertinggi sekiranya terdapat permintaan daripada pengamal media.

“Kalau ada permintaan, kita akan teliti dan bincang perkara berkenaan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.