Kuala Lumpur antara bandar paling popular dunia

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 30 Julai Kuala Lumpur kini tersenarai dalam 10 bandar paling popular di dunia dari segi ketibaan pelancong antarabangsa berdasarkan Indeks Destinasi Bandar Global Mastercard.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan berjaya memperkukuh sektor pelancongan melalui usaha dan dasar yang berkesan.
  • Seruan kepada rakyat: jaga kebersihan dan budaya sopan santun supaya pelancong berasa dialu-alukan.
  • Kestabilan politik mesti dikekalkan untuk mengekalkan keyakinan pelancong dan menarik pelabur.
  • Acara antarabangsa dan sasaran lebih 40 juta pelancong dijangka meningkatkan pendapatan pelancongan negara.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, pencapaian membanggakan itu membuktikan keberkesanan usaha kerajaan dalam memperkukuh sektor pelancongan negara.

Malaysia turut mencipta sejarah apabila merekodkan 10.7 juta ketibaan pelancong antarabangsa pada suku pertama tahun ini, sekali gus mengatasi Thailand buat kali pertama.

“Kita menyeru seluruh rakyat Malaysia Buat beberapa perkara. Pertama tolong jaga kebersihan supaya apabila pelancong datang, kita menjaga imej negara Malaysia bersih dan sejahtera.

“Yang kedua kita patut terus mempertahankan, memperkasakan budaya sopan santun budi bahasa supaya apabila pelancong datang mereka rasa mereka di alu-alukan kedatangan dan sudah tentunya dia akan kembali lagi itu sangat penting.

“Serta ketiga kita kena pastikan negara kita kekal stabil kestabilan politik. Itu wajib dipertahankan supaya bila negara kita stabil pelancong yakin, pelabur juga akan masuk akhirnya semua rakyat akan mendapat menerima manfaat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pameran Seni Bina, Reka Bentuk Dalaman dan Bangunan Antarabangsa Ke-25 (ARCHIDEX 2026) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yakin penganjuran acara bertaraf antarabangsa seperti Formula Satu (F1), Standard Chartered Kuala Lumpur Marathon dan Le Tour de Langkawi mampu menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia.

“Kerajaan yakin sasaran lebih 40 juta pelancong tahun ini bukan sahaja mampu dicapai, malah berpotensi melepasi sasaran tersebut,” katanya lagi.

Perkembangan itu sekali gus dijangka menjadikan sektor pelancongan sebagai penyumbang pendapatan kedua terbesar negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.