KDNK PMKS berkembang 5.7%, sumbang 39.7% kepada ekonomi Malaysia pada 2025

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Malaysia berkembang sebanyak 5.7 peratus pada tahun 2025, mengatasi pertumbuhan keseluruhan ekonomi negara yang mencatat 5.2 peratus.

RINGKASAN BERITA AI
  • Nilai tambah PMKS meningkat kepada RM689.8 bilion dan menyumbang 39.7 peratus kepada KDNK negara.
  • Pertumbuhan disokong inisiatif Belanjawan 2025: pembiayaan, insentif dan program pembangunan usahawan untuk produktiviti, pendigitalan dan akses pasaran.
  • Eksport PMKS meningkat, dengan Pembuatan utama; destinasi utama Singapura, Amerika Syarikat dan China.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), prestasi itu menyaksikan nilai ditambah PMKS meningkat kepada RM689.8 bilion berbanding RM652.8 bilion pada tahun 2024, sekali gus menyumbang 39.7 peratus kepada KDNK negara.

“Pertumbuhan didorong pelaksanaan inisiatif Belanjawan 2025 yang merangkumi pembiayaan, insentif dan program pembangunan usahawan untuk meningkatkan produktiviti, pendigitalan dan akses pasaran.

“Sektor Perkhidmatan dan Pembuatan terus menjadi penyumbang terbesar kepada KDNK PMKS dengan gabungan sumbangan 84.5 peratus. Sektor Perkhidmatan berkembang 5.7 peratus. Manakala sektor Pembuatan mencatat pertumbuhan 4.8 peratus,” menurut kenyataan itu.

Dari segi perdagangan, eksport PMKS meningkat 10.5 peratus kepada RM214.5 bilion pada tahun 2025, mewakili 14.7 peratus daripada keseluruhan eksport negara.

Sektor Pembuatan kekal penyumbang utama kepada eksport PMKS, dengan Singapura muncul sebagai destinasi eksport terbesar, diikuti Amerika Syarikat dan China.

Sementara itu, jumlah guna tenaga PMKS meningkat 1.5 peratus kepada 8.09 juta orang, menyumbang 48.7 peratus daripada keseluruhan guna tenaga Malaysia.

Pada masa sama, produktiviti buruh PMKS turut bertambah 4.1 peratus kepada RM85,299 bagi setiap pekerja, dengan sektor Pembinaan merekodkan pertumbuhan produktiviti tertinggi sebanyak 10.8 peratus.

Ia diikuti sektor Pembuatan, Perlombongan dan Pengkuarian, Perkhidmatan serta Pertanian.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.