
KUALA LUMPUR, 30 Julai – Persaingan dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) negara dijangka meningkat apabila pengeluar menawarkan lebih banyak model pada harga lebih mampu milik bagi menarik minat pengguna.
Terbaharu, BYD Sime Motors memperkenalkan varian Dynamic bagi model SUV elektrik segmen D, BYD SEALION 7, sekali gus memberi pilihan kepada pengguna yang berhasrat beralih kepada kenderaan elektrik.
Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma berkata, pengenalan varian baharu itu mencerminkan usaha syarikat memenuhi permintaan pengguna yang pelbagai, selain menawarkan pilihan mengikut keperluan dan bajet.
Beliau berkata, sejak diperkenal pada 2024, lebih 6,300 unit kenderaan tersebut diserahkan kepada pelanggan di Malaysia, menjadikannya antara model SUV elektrik segmen D yang mendapat sambutan dalam pasaran tempatan.
Sementara itu, Pengarah Urusan BYD Sime Motors, Adeline Lew berkata, syarikat terus memperkukuh ekosistem EV negara menerusi peluasan rangkaian jualan dan perkhidmatan selepas jualan.
Ujarnya, industri itu kini semakin rancak apabila lebih banyak pengeluar menawarkan pelbagai pilihan model yang memenuhi keperluan pengguna.
Persaingan turut didorong penawaran teknologi yang lebih canggih, ciri keselamatan dan kecekapan yang dipertingkat, selain strategi harga yang semakin kompetitif.
Perkembangan ini dijangka terus merancakkan kadar penggunaan EV di negara ini serta memperkukuh ekosistem mobiliti hijau.