
KUALA LUMPUR, 30 Julai – Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) melancarkan kohort kedua Climate Finance Innovation Lab (CFIL) bagi memperkukuh ekosistem pembiayaan iklim negara.
- Menyokong percepatan pembangunan projek berkaitan iklim untuk menarik pelaburan dan menyokong peralihan ke ekonomi rendah karbon.
- Platform menyediakan akses pembiayaan serta menghimpunkan pengawal selia, institusi kewangan, pelabur dan rakan ekosistem.
- Memperkenalkan kriteria kelayakan dipertingkat, proses pemilihan lebih tersusun serta kerjasama ekosistem yang diperkukuh.
Inisiatif itu turut bertujuan mempercepat pembangunan projek berkaitan iklim yang berpotensi menarik pelaburan serta menyokong agenda peralihan negara ke arah ekonomi rendah karbon.
Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulannya, Zakiah Mat Esa berkata, platform itu bukan sahaja menyediakan akses kepada pembiayaan, malah menghimpunkan pihak pengawal selia, institusi kewangan, pelabur dan rakan ekosistem.
“Berlandaskan momentum kukuh daripada kohort pertama, kami berharap dapat terus mengembangkan ekosistem ini serta menyokong projek yang mampu memberi impak pembangunan dan alam sekitar yang bermakna kepada Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan .
Sejak dilantik sebagai pentadbir program pada Jun 2025, BPMB telah membangunkan CFIL sebagai platform nasional yang menghubungkan pelbagai pihak berkepentingan.
Berteraskan momentum kohort pertama, Kohort 2 CFIL memperkenalkan kriteria kelayakan yang dipertingkat, proses pemilihan lebih tersusun, serta kerjasama ekosistem yang lebih kukuh.