
PUTRAJAYA, 27 Julai – Cadangan pindaan Akta Penjara yang memperuntukkan perlindungan kepada pegawai penjara yang melaksanakan tugas mengikut lunas undang-undang dan bukan bertujuan memberikan kekebalan kepada mereka.
- Terdapat salah tanggapan dalam kalangan masyarakat, termasuk NGO dan ahli politik, mengenai tujuan pindaan.
- Pegawai penjara kekal tertakluk kepada tindakan undang-undang sekiranya berlaku kecuaian atau pelanggaran undang-undang.
- Contoh kes: pengarah disaman selepas hukuman sebat dijalankan mengikut prosedur namun prospek meninggal dunia.
- KDN akan meneruskan libat urus pemegang taruh dan RUU Penjara (Pindaan) 2026 ditangguhkan untuk penelitian JKPK.
Sebaliknya, ia bagi memastikan mereka yang melaksanakan tanggungjawab mengikut prosedur tidak terdedah kepada tindakan undang-undang yang tidak wajar.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, terdapat salah tanggapan dalam kalangan masyarakat, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli politik bahawa pindaan tersebut merupakan usaha Jabatan Penjara Malaysia untuk mendapatkan imuniti.
“Saya tegaskan berkali-kali bahawa ini bukan percubaan untuk mendapatkan kekebalan undang-undang. Pegawai penjara tetap tertakluk kepada tindakan undang-undang sekiranya berlaku kecuaian atau pelanggaran undang-undang,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.
Beliau memberi contoh seorang Pengarah Penjara yang pernah disaman selepas melaksanakan hukuman sebat ke atas seorang prospek yang telah dijatuhi hukuman oleh mahkamah.
Walaupun hukuman tersebut dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan, termasuk kehadiran doktor, pegawai terbabit tetap berdepan tindakan undang-undang apabila prospek berkenaan meninggal dunia.
Selain itu, katanya, terdapat juga kes melibatkan prospek yang meninggal dunia ketika tidur dengan laporan perubatan mengesahkan tiada unsur jenayah namun pegawai penjara masih disaman walaupun mereka hanya menjalankan tugas mengikut prosedur.
Datuk Seri Saifuddin turut menjelaskan bahawa cadangan pindaan itu tidak akan menghalang siasatan terhadap sebarang salah laku yang dilakukan mereka.
Menurutnya, peruntukan perlindungan seperti itu bukan sesuatu yang baharu kerana banyak akta lain di negara ini turut mempunyai peruntukan yang sama bagi melindungi penjawat awam yang menjalankan tugas mengikut prosedur.
Sehubungan itu, KDN akan meneruskan sesi libat urus bersama semua pemegang taruh bagi memberi penjelasan lanjut mengenai cadangan pindaan tersebut sebelum ia dibentangkan semula.
KDN sebelum ini menangguhkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Penjara (Pindaan) 2026 bagi membolehkan penelitian lanjut dibuat oleh Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen.