KDN terus perhebat operasi gempur PATI walaupun depot tahanan lebihi kapasiti

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 27 Julai – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan terhadap pendatang asing tanpa izin dan warga asing yang melanggar Akta Imigresen 1959/63 walaupun 19 depot tahanan jabatan berkenaan kini beroperasi melebihi kapasiti.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penguatkuasaan perlu diteruskan kerana melibatkan keselamatan, kedaulatan negara dan memastikan warga asing mematuhi undang-undang.
  • Pertemuan dua hala Malaysia-Indonesia catat sokongan Presiden Prabowo terhadap tindakan Malaysia terhadap rakyat Indonesia yang melanggar undang-undang.
  • KDN melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperbaiki pengurusan depot termasuk aspek kebajikan dan kemanusiaan bagi tahanan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan penguatkuasaan perlu diteruskan kerana ia melibatkan aspek keselamatan serta kedaulatan negara, selain memastikan warga asing yang berada di negara ini mematuhi undang-undang.

“Negara kita terbuka, mereka boleh datang cari rezeki. Tapi negara kita juga ada undang-undang yang mesti mereka patuhi. Kalau mereka melanggar undang-undang domestik, maka Malaysia harus tangani sesuai dengan undang-undang negara kita,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KDN di sini hari ini.

Menurutnya, pendirian itu turut dipersetujui dalam pertemuan dua hala Malaysia-Indonesia apabila Presiden Prabowo Subianto menyatakan sokongan terhadap tindakan Malaysia menguatkuasakan undang-undang ke atas rakyat negara itu yang melakukan pelanggaran.

Mengulas kapasiti depot imigresen, Datuk Seri Saifuddin mengakui operasi penguatkuasaan yang semakin giat menyebabkan jumlah tahanan meningkat sehingga melebihi kapasiti 19 depot sedia ada.

Bagaimanapun, KDN sedang melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menambah baik pengurusan depot termasuk aspek kebajikan dan kemanusiaan sambil menegaskan operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara konsisten tanpa kompromi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.