FAMA ketengahkan 343 usahawan terbaik pada MAHA 2026

Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Shahrizan Sudiman (lima,kanan) bersama Ahli Lembaga Pengarah FAMA, Suzilawaty Shuib (lima, kiri) dan Pengarah Kanan Bahagian Galakan Pasaran dan Kepenggunaan FAMA, Asmizah Jaafar (tiga, kanan) merasmikan Program Jualan Agro MADANI (JAM) Edisi FAMA@MAHA2026 di ibu pejabat FAMA / Foto BERNAMA

GOMBAK, 27 Julai – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan mengetengahkan 343 pempamer dan usahawan terbaik dari seluruh negara pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang dijadual berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang, dari 28 Ogos hingga 6 September depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peserta dipilih melalui pertandingan peringkat negeri bagi memastikan hanya produk berkualiti dan mematuhi standard dipamerkan.
  • FAMA bawakan empat segmen utama: Food Empire, Food Truck Fiesta, Agribusiness dan Kingdom of Agrofood dengan fokus promosi produk dan sektor ternakan perikanan.
  • Program JAM berikan platform awal kepada usahawan, menawarkan promosi dan diskaun sehingga 10 hingga 30 peratus membantu meringankan kos sara hidup.

Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) FAMA, Shahrizan Sudiman berkata, penyertaan itu adalah sebahagian daripada kira-kira 2,000 pempamer yang dijangka mengambil bahagian dalam pameran dwitahunan berkenaan.

Beliau berkata, pemilihan usahawan dibuat menerusi pertandingan di peringkat negeri bagi memastikan hanya produk berkualiti tinggi dan memenuhi standard ditetapkan dipamerkan sepanjang MAHA 2026.

“Proses pemilihan peserta dibuat menerusi pertandingan yang membabitkan usahawan di setiap negeri. Yang terbaik akan kita bawakan ke MAHA 2026.

Selain itu juga, kita ada Food Truck Fiesta, yang mana kita tonjolkan lebih kurang 34 usahawan yang berniaga menggunakan food truck. Mereka akan menjual makanan-makanan viral di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Jualan Agro MADANI (JAM) Edisi FAMA@MAHA2026 di Ibu Pejabat FAMA, di sini, hari ini.

Shahrizan berkata, penyertaan FAMA merangkumi empat segmen utama iaitu Food Empire, Food Truck Fiesta, Agribusiness dan Kingdom of Agrofood (KOA).

Katanya, segmen Agribusiness menghimpunkan kira-kira 141 usahawan dari seluruh negara, dengan hampir 20 peratus daripada mereka berjaya menembusi pasaran eksport.

Bagi segmen Food Empire, seramai 74 usahawan akan menawarkan pelbagai makanan ikonik negeri, selain penyertaan usahawan antarabangsa dari rantau Timur Tengah.

“Food Truck Fiesta pula menghimpunkan kira-kira 34 usahawan tempatan yang menawarkan pelbagai makanan viral dari seluruh negara.

“Segmen Kingdom of Agrofood (KOA) bakal menjadi antara tarikan utama pameran dengan menampilkan hasil pertanian tempatan merangkumi sektor ternakan dan perikanan, selain mengangkat buah melon dari pelbagai negeri sebagai ‘Fruit of the Event’,” katanya.

Mengulas mengenai Program JAM, Shahrizan berkata, program itu disertai 33 usahawan menerusi 44 lot jualan sebagai platform promosi awal bagi memperkenalkan tarikan utama FAMA menjelang MAHA 2026.

Katanya, pengunjung berpeluang menikmati pelbagai tawaran istimewa termasuk Kombo MADANI pada harga RM10, Happy Hour RM5, ayam segar RM10 seekor, daging segar RM25 sekilogram, selain promosi buah-buahan bermusim, produk Agromas, Kopiesatu serta edaran sayur-sayuran percuma.

“Inisiatif ini membolehkan orang ramai menikmati penjimatan antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran, selaras dengan usaha kerajaan membantu meringankan kos sara hidup rakyat,” katanya.

Program JAM yang diperkenalkan sejak 2023 diteruskan menerusi edisi FAMA@MAHA2026 sebagai komitmen FAMA dalam memperkasakan usahawan agromakanan, menjamin keterjaminan makanan negara dan memberi pengalaman terbaik kepada pengunjung.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.