
KUALA LUMPUR, 27 Julai – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menganjurkan Persidangan Hartanah Asia (AREC) 2026 bermula 29 Julai hingga 1 Ogos depan sebagai platform menghimpunkan pemain industri dan pakar hartanah dalam serta luar negara.
- Persidangan menampilkan tiga komponen utama: forum, sesi padanan perniagaan dan pameran industri untuk perkongsian idea, teknologi dan inovasi.
- Tahun ini melibatkan dua menteri termasuk Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dan seorang menteri dari China.
- Lebih 500 pempamer termasuk pemaju tempatan dan syarikat China akan mempamerkan teknologi serta inovasi terkini sektor hartanah.
Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti) KPKT, Zulkiflee Sulaiman berkata, persidangan itu akan menampilkan tiga komponen utama iaitu forum, sesi padanan perniagaan serta pameran industri yang memberi peluang kepada peserta berkongsi idea, teknologi dan inovasi terkini dalam pembangunan hartanah.
“Kalau kita lihat pada tahun 2025 tidak melibatkan menteri tapi tahun ini kita melibatkan dua orang menteri iaitu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan juga menteri dari negara China,” katanya selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri hari ini.
Persidangan itu bakal menghimpunkan lebih 500 pempamer termasuk pemaju perumahan tempatan dan syarikat dari China yang akan mempamerkan teknologi serta inovasi terkini dalam sektor hartanah.