Tiga ekor anak Harimau Bengal Putih tarikan terbaharu Zoo Kemaman

Orang ramai melihat tiga ekor anak Harimau Bengal Putih berusia empat bulan yang mula dipamerkan/Foto BERNAMA

KEMAMAN, 25 Julai – Tiga ekor anak Harimau Bengal Putih berusia empat bulan yang mula dipamerkan kepada orang ramai hari ini menjadi tarikan terbaharu di Zoo Kemaman, Bukit Takal di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rory, Bima dan DB adalah anak jantan hasil pembiakan Lela Andika dan Luna Seroja sejak setahun lalu.
  • Pengarah berkata penampilan anak harimau dijangka menaikkan bilangan pengunjung Zoo Kemaman kepada lebih 1.5 juta tahun ini.
  • Harimau Bengal Putih ialah variasi genetik jarang dengan bulu putih dan belang hitam yang menarik perhatian di zoo dunia.

Ketiga-tiga anak harimau jantan itu yang masing-masing bernama Rory, Bima dan DB merupakan hasil pembiakan pasangan Harimau Bengal Putih, Lela Andika dan Luna Seroja sejak setahun lalu.

Pasangan harimau itu yang kini berusia dua tahun berasal dari Cape Town, Afrika Selatan sebelum dibawa ke Zoo Kemaman pada 2024.

Anak-anak harimau berkenaan membesar dengan baik bersama induknya sebelum bersedia dipertontonkan kepada orang ramai yang akan menjadi tarikan baharu kepada pengunjung.

Pengarah Zoo Kemaman, Wan Muzammir Wan Ariff berkata zoo berkenaan mula dibuka kepada orang ramai sejak 2009 kini menempatkan kira-kira 380 ekor haiwan daripada pelbagai spesies.

Menurutnya, ia merekodkan kehadiran kira-kira sejuta pengunjung sepanjang tahun lepas.

“Penampilan tiga ekor anak Harimau Bengal Putih ini dijangka menjadi tarikan utama Zoo Kemaman dan dijangka jumlah pengunjung meningkat kepada lebih 1.5 juta orang tahun ini,” katanya.

Harimau Bengal Putih atau ‘Panthera Tigris-Tigris’ adalah variasi genetik yang jarang ditemui dan terkenal dengan bulu berwarna putih serta belang hitam, menjadikannya antara spesies yang paling mendapat perhatian di zoo seluruh dunia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.