Dua warga Indonesia gagal cuba seludup keluar dadah bernilai hampir RM6 juta

Kartrij rokok elektronik (vape) turut dirampas

GEORGE TOWN, 24 Julai – Tindakan dua warga Indonesia untuk menyeludup keluar dadah bernilai hampir RM6 juta menggunakan perairan negara, gagal.

RINGKASAN BERITA AI
  • Op Taring Gelora pada 17 Julai oleh Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Pulau Pinang berdasarkan maklumat Unit Risikan Marin membawa kepada penahanan suspek.
  • Bot dikesan kira-kira tujuh batu nautika selatan Pulau Rimau; suspek memecut laju dan melakukan gerakan berbahaya namun berjaya ditahan.
  • Rampasan termasuk 113.776 kg syabu dibungkus dalam bungkusan teh Cina disorok dalam kompartmen hadapan dan 3,497 kartrij vape mengandungi 6.3 kg methamphetamine.

Kedua-dua suspek berjaya ditahan dalam Op Taring Gelora di perairan Pulau Rimau, di sini pada 17 Julai lepas oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pulau Pinang.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri ketika berkongsi kejayaan itu dalam sidang media memaklumkan, operasi hasil maklumat Unit Risikan Marin (URM).

“Pergerakan bot fiber yang dinaiki kedua-dua suspek dikesan dalam keadaan mencurigakan pada kedudukan kira-kira tujuh batu nautika di selatan Pulau Rimau.

“Pasukan operasi kemudian mengarahkan kedua-dua suspek, berhenti bagi pemeriksaan lanjut, bagaimanapun telah bertindak memecut laju bot berkenaan dan melakukan pelbagai pergerakan berbahaya.

“Namun, kedua-duanya berjaya ditahan,”jelasnya.

Pemeriksaan ke atas bot berkenaan, kemudian menemukan 113.776 kilogram dadah disyaki syabu yang dibungkus menggunakan bungkusan teh Cina dan disembunyikan dalam kompartmen khas di bahagian hadapan bot.

Selain itu, 3,497 kartrij rokok elektronik (vape) mengandungi cecair pelbagai perisa disyaki methamphetamine seberat 6.3 kilogram turut dirampas.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.