
KUALA LUMPUR, 24 Julai – Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memperkukuh usaha membanteras jenayah di ibu negara, termasuk kegiatan sindiket pengemis, menerusi pembukaan pondok polis baharu hasil kerjasama strategik dengan sektor korporat.
- Kegiatan pengemis dipercayai didalangi sindiket kekal cabaran utama penguatkuasaan di Kuala Lumpur.
- PDRM tidak akan berkompromi dan akan mempertingkat operasi serta kerjasama dengan pelbagai agensi bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam.
- Pondok Polis TRX di bawah Balai Polis Tun H.S. Lee berfungsi sebagai pusat operasi setempat untuk mempercepat komunikasi, penyelarasan dan kehadiran anggota polis.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kegiatan mengemis yang dipercayai didalangi sindiket kekal menjadi antara cabaran utama penguatkuasaan di Kuala Lumpur, selain jenayah ragut.
“Inilah cabaran yang sedang kita hadapi ketika ini. Kita akan terus berusaha membanteras kegiatan tersebut dan mengharapkan kerjasama daripada pihak korporat serta masyarakat keseluruhannya.
“Sekiranya terdapat penglibatan sindiket luar negara, kita akan mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Pondok Polis TRX di ibu negara, hari ini.
Menurut Datuk Fadil, PDRM tidak akan berkompromi dalam menangani kegiatan berkenaan dan akan mempertingkat operasi serta kerjasama dengan pelbagai agensi bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terus terpelihara.
Dalam perkembangan sama, PDRM Kuala Lumpur kini mempunyai 25 balai polis dan 28 pondok polis yang beroperasi di enam daerah polis termasuk Putrajaya.
Pondok Polis TRX berada bawah seliaan pentadbiran Balai Polis Tun H.S. Lee, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, diwujudkan bagi memperkukuh kawalan keselamatan di kawasan hab kewangan antarabangsa itu.
Kemudahan tersebut akan berfungsi sebagai pusat operasi setempat bagi mempercepat komunikasi, penyelarasan penugasan serta meningkatkan kehadiran anggota polis, sekali gus memperkukuh keyakinan orang ramai terhadap tahap keselamatan di kawasan berkenaan.