
KOTA BHARU, 24 Julai – Tiga lelaki etnik Rohingya ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas disyaki menggunakan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) palsu.
- Kad UNHCR disyaki palsu selepas imbasan QR menunjukkan data biometrik dan butiran peribadi tidak sepadan.
- Siasatan lanjut akan dijalankan untuk kenal pasti sumber kad dan rujuk kes kepada pihak berkuasa jika disahkan palsu.
- Operasi Mega Bersepadu memeriksa 362 individu pelbagai negara dan 20 lelaki warga asing ditahan disyaki melanggar undang-undang imigresen.
Pengarah JIM Kelantan, Garry Belayong John Siki berkata, penahanan dibuat menerusi Operasi Mega Bersepadu di sekitar bandar ini hari ini.
Jelas beliau, tiga kad berkenaan dirampas selepas imbasan kod respons pantas (QR) mendapati, data biometrik termasuk gambar dan butiran peribadi tidak sepadan dengan individu yang membawanya.
Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti sumber kad itu dan sekiranya disahkan palsu, kes akan dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan seterusnya.
“Kita memeriksa 362 individu membabitkan warga Nepal, Bangladesh, Pakistan, Indonesia, Thailand, Kemboja dan Myanmar.
“Hasil operasi itu, seramai 20 lelaki warga asing berusia antara 30 hingga 60 tahun ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas operasi berkenaan di sini hari ini.
Operasi bermula pukul 9 pagi itu melibatkan pemeriksaan di 11 lokasi tumpuan warga asing.
Pelaksanaannya membabitkan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).