
PUTRAJAYA, 23 Julai- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) memperkukuh kerjasama strategik dalam usaha meningkatkan integriti serta tadbir urus korporat termasuk memperkasa langkah pencegahan rasuah.
- Kerjasama berterusan memastikan amalan tadbir urus yang telus dan berintegriti diperkasakan.
- Meningkatkan kesedaran integriti dan antirasuah dalam kalangan warga kerja PETRONAS.
- PETRONAS menggalakkan kebebasan melapor dan memperkukuh kawalan dalaman demi tadbir urus korporat yang tinggi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Sri Abd Halim Aman berkata kerjasama berterusan antara kedua-dua pihak penting bagi memastikan budaya integriti dan ketelusan terus menjadi amalan dalam organisasi.
“Sinergi antara kedua-dua organisasi ini penting bagi memastikan amalan tadbir urus yang telus dan berintegriti terus diperkasakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.
Pertemuan itu turut membincangkan usaha meningkatkan kesedaran integriti dan antirasuah dalam kalangan warga kerja PETRONAS, selain memperkukuh mekanisme kawalan dalaman bagi mengurangkan risiko salah laku.
Sementara itu, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata PETRONAS sentiasa memberi penekanan terhadap budaya kebebasan melapor bagi menggalakkan warga kerjanya tampil menyalurkan maklumat berkaitan salah laku atau rasuah.
Katanya, langkah itu merupakan sebahagian daripada komitmen syarikat dalam mengekalkan tahap tadbir urus korporat yang tinggi.
Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato’ Sri Ahmad Khusairi Yahaya; Naib Presiden Kanan Bahagian Perundangan Kumpulan dan Ketua Penasihat Undang-Undang Kumpulan PETRONAS, Razman Hashim serta Ketua Unit Integriti PETRONAS, KPKPj Mohamad Faizal Sadri.