
KUALA LUMPUR, 23 Julai – Siri Kejohanan Golf 100PLUS Remaja dan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 bakal menjadi pentas penting dalam memuktamadkan senarai panjang atlet berpotensi untuk menggalas cabaran negara pada Sukan SEA Malaysia 2027.
- Mohd Fauzi: prestasi pemain sepanjang Siri 100PLUS dan aksi di SUKMA akan dinilai menyeluruh sebelum 15 pemain lelaki, 10 wanita disenaraikan.
- Pemilihan melibatkan pemain kebangsaan sedia ada dan membuka peluang kepada pemain baharu yang menyerlah di kejohanan pembangunan dan SUKMA.
- SUKMA adalah pentas terakhir untuk penilaian; keputusan akhir mesti dibuat sebelum tarikh akhir pada Jun tahun hadapan.
- Andrew Yap dan Denden Wong kini dalam radar selepas aksi cemerlang Piala Premier, manakala Andrew dan Amirah menjuarai kategori 100PLUS Remaja.
Pengerusi Program Pembangunan Golf Junior Kebangsaan (NJDP),Mohd Fauzi Mesran berkata, prestasi pemain sepanjang Siri 100PLUS serta aksi di Sukma akan dinilai secara menyeluruh sebelum 15 pemain lelaki dan 10 pemain wanita dipilih untuk disenaraikan dalam skuad kebangsaan.
Beliau berkata, pemilihan itu bukan sahaja membabitkan pemain kebangsaan sedia ada, malah turut membuka peluang kepada pemain baharu yang menyerlah dalam kejohanan pembangunan dan Sukma untuk merebut tempat dalam skuad negara.
“SUKMA adalah pentas terakhir untuk kami menilai pemain. Selepas itu kami akan memilih 15 pemain lelaki dan 10 pemain wanita untuk dimasukkan dalam senarai panjang sebelum tarikh akhir pada Jun tahun hadapan.
“Semua kemungkinan boleh berlaku kerana prestasi pemain junior kita ketika ini sangat memberangsangkan. Kami akan memilih hanya pemain terbaik untuk dibawa ke Sukan SEA,” katanya kepada pemberita selepas Kejohanan Golf 100PLUS Remaja di Kelab Golf Kinrara, di sini, hari ini.
Mohd Fauzi berkata, beberapa pemain muda seperti Andrew Yap dan Denden Wong kini berada dalam radar selepas mempamerkan aksi cemerlang pada Piala Premier di Sarawak, namun semua pemain masih perlu membuktikan kemampuan masing-masing sebelum dipertimbangkan untuk disenaraikan.
Terdahulu, Andrew dan Amirah Nur Hanania Afanizam muncul juara kategori masing-masing pada Kejohanan Golf 100PLUS Remaja.
Andrew menjuarai kategori Boys A selepas mencatat keseluruhan 219 pukulan, enam atas par, untuk mengatasi Nathan Wong yang merekodkan 231 pukulan, 18 atas par, manakala Muhamad Eiqbal Aisy Mohd Elauddin di tempat ketiga dengan 236 pukulan, 23 atas par.
Dalam kategori Girls B, Amirah Nur Hanania muncul juara dengan catatan 225 pukulan, 12 atas par, mengatasi Choi Quinn-Cie yang merekodkan 230 pukulan, 17 atas par, manakala Deepikaa Ganesan melengkapkan kedudukan tiga terbaik dengan 232 pukulan, 19 atas par.- BERNAMA