Sukan Komanwel pentas lahir juara – Rukare

Pingat emas yang menjadi buruan atlet bertanding pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 – Foto Reuters

GLASGOW, 23 Julai – Sukan Komanwel kekal menjadi pentas melahirkan juara meski pun penganjuran temasya kali ini diadakan di Scotland dalam skala lebih kecil.

RINGKASAN BERITA AI
  • Victoria menarik diri kerana kos meningkat; Glasgow tampil menyelamatkan penganjuran dengan format lebih ringkas.
  • Acara dikurangkan kepada 10 Sukan Komanwel dan 6 Sukan Para Komanwel bagi mengekalkan kos rendah.
  • Rukare tekankan temasya fokus kepada atlet, memberi peluang pertama mewakili negara.
  • Ahmedabad disahkan tuan rumah 2030; New Zealand menunjukkan minat menjadi tuan rumah 2034.

Perkara itu ditegaskan Presiden Sukan Komanwel, Dr. Donald Rukare.

Penganjuran temasya setiap empat tahun sekali itu berdepan masalah selepas negeri Victoria di Australia menarik diri sebagai penganjur pada Julai 2023 atas faktor kos yang meningkat.

Glasgow yang pernah menganjurkan Sukan Komanwel 12 tahun lalu kemudian menawarkan penyelesaian menerusi penganjuran dalam format lebih ringkas iaitu dengan dengan memanfaatkan venue sedia ada bagi mengurangkan beban yang ditanggung pembayar cukai.

Jumlah acara dikurangkan masing-masing kepada 10 bagi Sukan Komanwel dan enam bagi Sukan Para Komanwel berbanding 19 acara dipertandingkan dalam Sukan Komanwel dan lapan acara dalam Sukan Para Komanwel di Birmingham, empat tahun lalu.

Sukan Komanwel Glasgow membuka tirai pada Khamis dengan Raja Charles dijangka turut menghadiri upacara pembukaan dan mengisytiharkan bermulanya temasya tersebut.

“Kami berdepan situasi sukar apabila temasya itu hampir tidak dapat dianjurkan, namun Glasgow tampil menyelamatkan keadaan. “Scotland the Brave,” seperti yang sering kami ungkapkan,” kata Rukare.

Mula dianjurkan 96 tahun lalu, Sukan Komanwel berevolusi daripada Sukan Empayar British dan kini menghimpunkan 74 negara serta wilayah, kebanyakannya bekas jajahan Empayar British.

Dianjurkan selang dua tahun sebelum dan selepas Sukan Olimpik, Sukan Komanwel secara tradisinya menjadi pentas penting bagi mencungkil dan melahirkan bintang sukan masa depan.

“Ia mengenai para atlet.” tambah Rukare. “Bagi sesetengah atlet, ini adalah kali pertama mereka mewakili negara dan wilayah masing-masing. Kami percaya Sukan Komanwel adalah pentas di mana juara dilahirkan.”

Renang dan olahraga menjadi dua acara wajib dalam Sukan Komanwel bagi memberi lebih fleksibiliti kepada bakal tuan rumah.

Bagaimanapun, Rukare yakin masa depan temasya itu semakin cerah.

Bandar Ahmedabad di India telah sah dipilih sebagai tuan rumah Sukan Komanwel edisi ulang tahun ke-100 pada 2030, manakala New Zealand antara negara yang menunjukkan minat untuk menjadi tuan rumah temasya edisi 2034. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.