Les Bleus umum jurulatih baharu 28 Julai

Zinedine Zidane (tengah) ketika menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 antara Sepanyol dengan Argentina di New Jersey – Foto AFP

PARIS, 23 Julai – Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF) akan mengumumkan jurulatih baharu skuad kebangsaan pada 28 Julai.

RINGKASAN BERITA AI
  • Zidane dilihat sebagai calon pilihan untuk menggantikan Didier Deschamps.
  • Beliau tidak memegang jawatan jurulatih sejak penggal kedua bersama Real Madrid berakhir.
  • Sebagai pengurus Real Madrid, beliau menang Liga Juara Eropah tiga musim berturut-turut.

Walaupun nama Zinedine Zidane tidak disebut dalam kenyataan FFF, beliau dilihat sebagai calon pilihan untuk menggantikan Didier Deschamps sebagai ketua jurulatih Perancis.

Zidane, 54, sekian lama dilihat sebagai calon utama untuk menggalas tugas itu dan telah menanti peluang membimbing skuad kebangsaan sejak beberapa tahun lalu.

Beliau dijangka menggantikan Deschamps yang mengendalikan skuad Perancis sejak 2012 sebelum menamatkan khidmatnya pada Sabtu, selepas Les Bleus menamatkan kempen Piala Dunia FIFA 2026 di tempat keempat.

Sejak penggal keduanya bersama Real Madrid berakhir lima tahun lalu, Zidane tidak lagi memegang sebarang jawatan kejurulatihan, namun beliau tidak pernah menyembunyikan hasrat untuk mengemudi skuad kebangsaan Perancis, suatu hari nanti.

Beliau bakal mengikut jejak langkah bekas rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan, Laurent Blanc yang membimbing Perancis dari 2010 hingga 2012 selain, Deschamps.

Bekas tonggak Perancis itu yang menjulang Piala Dunia 1998 dan juara Euro 2000 sebagai pemain, hanya pernah mengendalikan satu kelab, iaitu Real Madrid.

Sepanjang bersama gergasi Sepanyol itu, Zidane mencipta sejarah apabila membawa Real Madrid muncul juara Liga Juara Eropah tiga musim berturut-turut pada 2016, 2017 dan 2018, satu pencapaian yang belum pernah dicapai dalam era moden kejohanan tersebut. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.