
TOKYO, 23 Julai – Hajime Moriyasu telah menandatangani kontrak baharu untuk mengemudi Jepun mengharungi kejohanan Piala Asia 2027 selepas membawa skuad Samurai Biru ke peringkat kalah mati Piala Dunia FIFA 2026.
- Kontrak Moriyasu akan tamat selepas Piala Asia 2027; beliau akan melepaskan jawatan tanpa mengira pencapaian.
- Beliau pengendali paling lama sejak 2018, mencatat kemenangan mengejutkan ke atas Jerman dan Sepanyol di Piala Dunia 2022.
- Jepun diundi dalam Kumpulan F Piala Asia 2027 bersama juara bertahan Qatar, Thailand dan Indonesia.
Media tempatan pada Khamis melaporkan kontrak Moriyasu akan tamat selepas Piala Asia yang dijadualkan berlangsung di Arab Saudi dari 7 Januari hingga 5 Februari.
Beliau dilapor akan melepaskan jawatan tersebut tanpa mengira pencapaian Jepun pada kejohanan berkenaan dan akan digantikan oleh ketua jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23), Go Oiwa, menurut laporan yang memetik Persatuan Bolasepak Jepun (JFA).
Moriyasu merupakan pengendali paling lama berkhidmat bersama skuad kebangsaan Jepun selepas mengambil alih jawatan itu sejurus Piala Dunia 2018 di Rusia.
Jurulatih berusia 57 tahun itu mencipta kejutan apabila membimbing Jepun menewaskan Jerman dan Sepanyol pada Piala Dunia 2022 sebelum tersingkir pada pusingan 16 terakhir selepas kalah kepada Croatia menerusi penentuan sepakan penalti.
Pada Piala Dunia 2026, beliau membawa skuad Samurai Biru mara ke pusingan 32 terbaik sebelum tersingkir selepas tewas 1-2 kepada Brazil.
Moriyasu turut mengendalikan Jepun dalam dua kejohanan Piala Asia serta Copa Amerika dan Sukan Olimpik Tokyo 2021 yang menyaksikan mereka menduduki tempat keempat.
Jepun diundi dalam kumpulan F pada Piala Asia 2027 dan bakal berdepan penyandang juara, Qatar selain Thailand dan Indonesia.
Jepun pernah merangkul Piala Asia sebanyak empat kali, dengan kali terakhir pada 2011.
Pada 2024, Samurai Biru tersingkir pada suku akhir selepas tunduk kepada Iran pada kejohanan yang dianjurkan di Qatar. – AFP