ECRL kurangkan kesesakan, tingkat kecekapan logistik negara

Golden Train Electric Multiple Unit (EMU) Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Stesen ECRL KotaSAS / foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka bukan sahaja memperkukuh sistem pengangkutan negara, malah mengurangkan kesesakan lalu lintas serta risiko kemalangan melibatkan kenderaan berat menerusi peralihan pengangkutan kargo dari jalan raya ke rel.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mengurangkan kebergantungan kepada lori dan treler di lebuh raya utama, terutama laluan Pantai Timur-Lembah Klang.
  • Peralihan road-to-rail menyumbang kepada pengurangan risiko kemalangan, kerosakan jalan dan meningkatkan kelancaran aliran trafik.
  • Kementerian Pengangkutan menggalakkan pemain industri guna perkhidmatan ECRL bagi sokong keselamatan jalan, kelestarian alam dan kecekapan logistik.
  • Satu tren kargo ECRL membawa sehingga 3,150 tan boleh menggantikan kira-kira 40 treler, kurangkan pelepasan karbon.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, langkah itu berpotensi mengurangkan kebergantungan kepada lori dan treler di lebuh raya utama, khususnya laluan yang menghubungkan Pantai Timur dengan Lembah Klang.

Beliau berkata peralihan sebahagian pergerakan kargo daripada jalan raya kepada rel (road-to-rail) secara tidak langsung akan menyumbang kepada pengurangan kesesakan lalu lintas, risiko kemalangan melibatkan kenderaan berat serta kerosakan jalan, selain meningkatkan kelancaran aliran trafik.

“Melalui peralihan sebahagian pergerakan kargo daripada jalan raya kepada rel, perkhidmatan ECRL berpotensi mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan berat seperti lori di lebuh raya utama, termasuk laluan yang menghubungkan Pantai Timur dan Lembah Klang,” katanya ketika menjawab pertanyaan Senator Norhashimah Abdul Ghani di Dewan Negara, hari ini.

Menurut beliau, Kementerian Pengangkutan akan terus menggalakkan pemain industri memanfaatkan perkhidmatan ECRL bagi memperluas peralihan mod pengangkutan daripada jalan raya kepada rel, sekali gus menyokong agenda keselamatan jalan raya, kelestarian alam sekitar serta meningkatkan kecekapan rantaian logistik negara.

Hasbi berkata, apabila mula beroperasi kelak, sebuah tren kargo ECRL yang membawa sehingga 3,150 tan muatan dianggarkan mampu menggantikan kira-kira 40 treler.

“Keupayaan itu bukan sahaja dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas, malah membantu mengurangkan pelepasan karbon serta risiko kemalangan di jalan raya,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.