
KUALA LUMPUR, 25 September – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita atas pemergian tokoh perfileman negara, Tan Sri L. Krishnan yang meninggal dunia hari ini pada usia 104 tahun.
- Mendiang figura terawal yang mencorakkan perkembangan dan kegemilangan industri filem Melayu.
- Menghasilkan karya penting era 1950-an dan 1960-an bersama studio ternama seperti Shaw Brothers, Malay Film Productions, Cathay-Keris dan Merdeka Studios.
- Arahan klasik termasuk filem Bakti, Keris Sempena Riau dan Selendang Merah.
- Membimbing serta menggilap bakat bintang ternama seperti P. Ramlee, Maria Menado, Mustapha Maarof, M. Amin dan Rosnani Jamil.
Menerusi satu kenyataan, Perdana Menteri menyifatkan mendiang yang merupakan bekas pelajar High School Bukit Mertajam sebagai antara figura terawal yang mencorakkan perkembangan dan kegemilangan industri filem Melayu.
“Sepanjang kerjayanya pada era 1950-an dan 1960-an, mendiang telah menghasilkan pelbagai karya penting bersama studio ternama seperti Shaw Brothers, Malay Film Productions, Cathay-Keris serta Merdeka Studios.
“Antara naskhah hebat arahan mendiang termasuklah filem klasik Bakti, Keris Sempena Riau dan Selendang Merah,” jelas Datuk Seri Anwar menerusi Facebook rasminya.
Beliau menambah, mendiang turut dikenang sebagai tokoh yang bertanggungjawab membimbing serta menggilap bakat ramai bintang ternama tanah air, antaranya Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee, Datuk Maria Menado, Datuk Mustapha Maarof, M. Amin dan Datin Rosnani Jamil.
Jelas Datuk Seri Anwar, penglibatan L. Krishnan selama lebih enam dekad dalam dunia perfileman, pengiklanan dan muzik telah meninggalkan legasi yang cukup besar buat industri seni dan budaya negara.
“Pastinya jasa dan sumbangan mendiang dalam memperkaya khazanah seni tanah air akan terus dikenang.
“Takziah kepada seluruh keluarga, semoga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan ini,” kata Perdana Menteri.