
KUALA LUMPUR, 22 Julai – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan sambutan Hari Sarawak bukan sekadar memperingati sejarah negeri itu, malah menjadi simbol jati diri, perpaduan serta sumbangan besar Sarawak dalam pembinaan Malaysia.
- 22 Julai sebagai tarikh bermakna mengangkat identiti Sarawak dan rasa bangga terhadap perjalanan pembangunan negeri.
- 'Segulai Sejalai' dijadikan inspirasi untuk memperkukuh perpaduan dan membina masa depan Malaysia yang lebih maju, makmur dan sejahtera.
- Penghargaan kepada Kerajaan Negeri dan rakyat Sarawak atas jasa, sumbangan dan komitmen memacu kemajuan negeri serta negara.
Menerusi hantaran di Facebook sempena Hari Sarawak yang disambut hari ini, beliau berkata 22 Julai merupakan tarikh yang cukup bermakna buat seluruh rakyat Sarawak dalam mengangkat identiti negeri serta menyemarakkan rasa bangga terhadap perjalanan pembangunan yang telah dilalui.
Beliau berharap semangat ‘Segulai Sejalai’ akan terus menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat untuk melangkah seiring dalam memperkukuh perpaduan, di samping membina masa depan Malaysia yang lebih maju, makmur dan sejahtera.
“Kepelbagaian budaya, keharmonian masyarakat berbilang kaum dan semangat kebersamaan yang diamalkan rakyat Sarawak terus menjadi kekuatan yang menyatukan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sarawak serta seluruh rakyat negeri itu atas jasa, sumbangan dan komitmen mereka dalam membangunkan Sarawak serta memacu kemajuan negara.
Hari Sarawak disambut pada 22 Julai setiap tahun bagi memperingati detik bersejarah pembentukan pentadbiran sendiri Sarawak pada 1963, sebelum pembentukan Malaysia pada 16 September tahun yang sama.