
KUALA LUMPUR, 22 Julai – Kedudukan fiskal negara dan unjuran semasa kekal buat masa ini meskipun berdepan kemungkinan peningkatan harga minyak mentah dunia melebihi paras semasa.
- Unjuran fiskal akan dikemas kini semasa pembentangan Belanjawan 2027 pada Oktober.
- Setiap kenaikan AS$1 setong harga minyak dianggarkan menyumbang kira-kira RM300 juta kepada hasil kerajaan.
- Unjuran semasa berdasarkan anggaran AS$90 setong; subsidi RON95 kira-kira RM2 bilion dan diesel RM1.5 bilion sebulan.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, unjuran berkenaan akan dikemas kini apabila Belanjawan 2027 dibentangkan pada Oktober depan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar di Dewan Negara mengenai langkah kerajaan sekiranya harga minyak mentah dunia meningkat melebihi unjuran semasa.
“Buat masa ini, kedudukan fiskal negara dan unjuran fiskal masih dikekalkan. Walaupun berlaku kenaikan harga minyak, kerajaan turut menerima peningkatan hasil berkaitan petroleum.
“Setiap kenaikan AS$1 setong harga minyak dianggarkan menyumbang kira-kira RM300 juta kepada hasil kerajaan. Oleh itu, unjuran fiskal masih kekal.
“Bagaimanapun, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan tahun depan pada Oktober nanti, kerajaan akan mengemas kini unjuran tersebut,” katanya.
Beliau berkata unjuran semasa dibuat berdasarkan anggaran harga minyak mentah dunia sekitar AS$90 setong.
Menurutnya, berdasarkan unjuran itu, subsidi petrol RON95 dianggarkan sekitar RM2 bilion sebulan, manakala subsidi diesel sekitar RM1.5 bilion sebulan.