
KUALA LUMPUR, 17 Julai – Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau bertekad membuktikan kemampuannya selepas kembali dipanggil menyertai Harimau Malaya bagi menghadapi kempen Piala ASEAN 2026.
- Selepas musim sukar akibat kecederaan, Aliff berazam membuktikan kemampuan dan membuka lembaran baharu.
- Menganggap peluang bersama skuad kebangsaan penghargaan, dia mahu membalas kepercayaan dengan aksi terbaik; terakhir beraksi pada Piala ASEAN 2022.
- Persiapan berjalan lancar di bawah jurulatih interim Tan Cheng Hoe; Aliff teruja uji kemampuan menentang Thailand untuk pengalaman antarabangsa.
Selepas melalui musim yang sukar akibat kecederaan, beliau menganggap pemanggilan semula ke skuad kebangsaan sebagai peluang untuk membuka lembaran baharu serta membuktikan kemampuannya.
Aliff, yang kali terakhir menyarung jersi skuad kebangsaan pada kempen Piala ASEAN 2022, menyifatkan peluang itu sebagai satu penghargaan dan berazam membalas kepercayaan yang diberikan dengan aksi terbaik.
Pemain Penang FC itu berkata, setakat ini, persiapan pasukan berjalan lancar dengan semua pemain semakin menyesuaikan diri dengan corak latihan yang diterapkan ketua jurulatih interim, Tan Cheng Hoe.
Beliau turut menyifatkan kejohanan itu sebagai platform terbaik untuk pemain muda menimba pengalaman di pentas antarabangsa.
Malah, mengakui paling teruja untuk berdepan Thailand kerana mahu menguji kemampuan diri menentang antara pasukan terbaik di rantau Asia Tenggara.