
KUALA LUMPUR, 16 Julai– Kontinjen Malaysia menetapkan sasaran lima pingat emas, dua perak dan empat gangsa pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang akan berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos ini.
- Ketua kontinjen kata sasaran ditetapkan selepas menilai persiapan atlet dan perubahan acara.
- Malaysia kehilangan empat prospek emas kerana badminton dan gimnastik berirama tidak lagi dipertandingkan.
- Temasya berskala lebih kecil, hanya 10 jenis sukan dipertandingkan, Malaysia menyertai lapan daripadanya.
- Kontinjen berjumlah 59 atlet termasuk atlet para, berkurang berbanding 104 atlet pada edisi Birmingham 2022.
Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Awalan Abdul Aziz berkata, sasaran itu ditetapkan selepas mengambil kira persiapan atlet serta perubahan acara yang dipertandingkan pada edisi kali ini.
Jelasnya, walaupun Malaysia kehilangan empat prospek pingat emas tahun ini, namun beliau yakin kontinjen negara masih mampu mencapai sasaran berkenaan.
“Pada edisi Birmingham 2022, kita memenangi tujuh pingat emas. Namun, empat daripadanya menerusi sukan yang tidak lagi dipertandingkan di Glasgow, iaitu badminton dan gimnastik berirama.
Berdasarkan lawatan yang saya lakukan ke kem latihan atlet serta penilaian yang dibuat, kami menetapkan sasaran 5-2-4. Sebagai satu kontinjen dan satu pasukan, kami yakin sasaran itu mampu dicapai,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel Glasgow 2026, di sini.
Tambahnya lagi, temasya kali ini berlangsung dalam skala lebih kecil apabila hanya 10 jenis sukan dipertandingkan berbanding kira-kira 20 pada edisi terdahulu, dengan Malaysia menyertai lapan daripadanya.
Seramai 59 atlet, termasuk atlet para, akan membawa cabaran negara di Glasgow, berbanding 104 atlet pada edisi Birmingham 2022.