
GIBRALTAR, 15 Julai – Era baharu hubungan antara Sepanyol dan wilayah British, Gibraltar bermula apabila pemeriksaan sempadan yang sekian lama menjadi punca ketegangan akhirnya dimansuhkan.
- Ratusan penduduk berhimpun meraikan perkembangan itu; Ketua Menteri Fabian Picardo berkata ia mengembalikan Gibraltar ke Eropah.
- Perjanjian EU dan Britain selepas Brexit menyelaraskan Gibraltar dengan peraturan Schengen, memudahkan pergerakan dan aktiviti ekonomi.
- Pelancong dari luar kawasan Schengen masih perlu menunjukkan pasport ketika tiba melalui lapangan terbang dan pelabuhan Gibraltar.
Beberapa minit selepas tengah malam Rabu, orang ramai dan kenderaan dari Sepanyol mula melintasi sempadan menuju Gibraltar tanpa perlu melalui pemeriksaan kastam, menandakan perubahan besar selepas bertahun-tahun berdepan sekatan pergerakan.
Ratusan penduduk berhimpun di kawasan sempadan bagi meraikan perkembangan itu, dengan Ketua Menteri Gibraltar, Fabian Picardo menyifatkannya sebagai detik yang mengembalikan Gibraltar ke Eropah.
Gibraltar yang terletak di hujung selatan Semenanjung Iberia merupakan wilayah pemerintahan sendiri Britain dengan kira-kira 40,000 penduduk.
Namun, ekonomi wilayah kecil itu banyak bergantung kepada kira-kira 15,500 pekerja dari Sepanyol yang setiap hari melintasi sempadan untuk bekerja.
Sebelum ini, kesesakan panjang sering berlaku terutama pada waktu puncak apabila pemeriksaan dokumen dilakukan, khususnya ketika hubungan Britain dan Sepanyol tegang berhubung isu tuntutan kedaulatan ke atas Gibraltar.
Perubahan itu susulan perjanjian antara Kesatuan Eropah (EU) dan Britain selepas Brexit, yang dimeterai di Brussels pada Selasa.
Perjanjian berkenaan menyelaraskan Gibraltar dengan peraturan zon perjalanan bebas pasport Schengen, sekali gus memudahkan pergerakan penduduk dan aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan.
Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Albares menyifatkan perjanjian itu sebagai “era baharu” yang membuka peluang besar kepada Gibraltar dan wilayah sekitar Sepanyol.
Sementara itu, Ketua Persekutuan Perniagaan Kecil Gibraltar, Owen Smith berkata, sempadan yang lebih lancar akan membantu syarikat tempatan mendapatkan serta mengekalkan tenaga kerja dari Sepanyol.
Bagaimanapun, pelancong dari luar kawasan Schengen masih perlu menunjukkan pasport ketika tiba melalui lapangan terbang dan pelabuhan Gibraltar.
Isu sempadan Gibraltar mempunyai sejarah panjang apabila Sepanyol menutup sempadan wilayah itu pada 1969 selepas penduduk Gibraltar memilih untuk kekal di bawah pemerintahan Britain menerusi referendum.
Penutupan itu berlangsung selama 13 tahun dan menjejaskan pergerakan pekerja serta hubungan kekeluargaan antara kedua-dua kawasan.
Gibraltar, yang hanya berkeluasan kurang tujuh kilometer persegi, kini mempunyai ekonomi kukuh berasaskan perkhidmatan kewangan dan permainan dalam talian, selain menjadi sumber pekerjaan penting kepada penduduk sekitar Campo de Gibraltar di Sepanyol.
Britain dan Sepanyol masih mempertikaikan isu kedaulatan Gibraltar sejak wilayah itu diserahkan kepada Britain melalui Perjanjian Utrecht pada 1713.-AFP