
WASHINGTON, 15 Julai – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump membayar AS$5.6 juta (kira-kira RM24 juta) kepada penulis E. Jean Carroll selepas juri sivil mendapati beliau bertanggungjawab atas dakwaan serangan seksual dan fitnah terhadap wanita itu.
- Peguam Carroll kata juri sebulat suara sembilan anggota mendapati Trump bersalah melakukan serangan seksual dan memfitnah.
- Mahkamah Agung menolak rayuan Trump akhir Jun, menjadikan keputusan itu muktamad.
- Carroll dakwa serangan berlaku di bilik persalinan New York pada 1996; dia terbitkan dakwaan dalam buku 2019.
- Dalam kes berasingan, Trump diarahkan membayar AS$83.3 juta kerana fitnah; pelaksanaan masih ditangguhkan.
Menurut pemfailan mahkamah pada Selasa, bayaran tersebut dibuat susulan keputusan juri pada 2023 yang memerintahkan Trump membayar ganti rugi kepada Carroll.
Peguam Carroll, Roberta Kaplan berkata, keputusan sebulat suara sembilan anggota juri sebelum ini mendapati Trump bersalah melakukan serangan seksual serta memfitnah bekas wartawan dan kolumnis berkenaan.
Mahkamah Agung AS pada akhir Jun lalu menolak rayuan Trump terhadap keputusan asal Mei 2023, sekali gus menjadikan keputusan itu muktamad.
Carroll, kini berusia 82 tahun, mendakwa Trump menyerangnya di sebuah bilik persalinan gedung beli-belah di New York pada 1996.
Dakwaan itu diterbitkan dalam bukunya pada 2019, namun Trump menafikannya dan menyifatkan Carroll sebagai “tidak waras” serta mendakwa tuduhan tersebut direka-reka.
Dalam kes berasingan berkaitan fitnah di New York, Trump turut diarahkan membayar AS$83.3 juta (kira-kira RM356 juta) kepada Carroll.
Keputusan itu dikekalkan selepas rayuan, namun pelaksanaannya masih ditangguhkan.-AFP