
KUALA LUMPUR, 12 Julai – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel yang menahan Mufti Besar Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa, Sheikh Muhammad Hussein, sejurus selepas beliau menunaikan Solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa pada Jumaat lalu.
- Jabatan Perdana Menteri menyatakan pencabulan terhadap kebebasan beragama serta mencemarkan kesucian Masjid Al-Aqsa.
- Tindakan itu menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pemimpin agama dan kebebasan umat Islam beribadat di Al-Aqsa.
- JPM menggesa PBB dan OIC bertindak tegas demi memastikan hak beribadat, keselamatan pemimpin agama dan status Masjid Al-Aqsa terpelihara.
- Kerajaan mengingatkan tragedi Srebrenica, menyeru generasi muda menolak kebencian, sambil menegaskan sokongan kemanusiaan serta sejarah bantuan Malaysia kepada Bosnia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, meskipun Sheikh Muhammad Hussein telah dibebaskan kemudian, tindakan terhadap seorang pemimpin agama ketika melaksanakan amanahnya di masjid suci umat Islam merupakan pencabulan terhadap kebebasan beragama serta mencemarkan kesucian Masjid Al-Aqsa.
Beliau berkata, tindakan itu juga menimbulkan kebimbangan terhadap jaminan keselamatan pemimpin agama dan kebebasan umat Islam untuk beribadah di salah satu daripada tiga masjid paling suci dalam Islam.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), supaya bertindak tegas bagi memastikan hak beribadah, keselamatan para pemimpin agama serta status Masjid Al-Aqsa terus dipelihara selaras dengan undang-undang antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kerajaan melalui JPM (Hal Ehwal Agama) kekal teguh berdiri bersama rakyat Palestin dan akan terus menyokong segala usaha ke arah keamanan yang adil, mempertahankan hak asasi rakyat Palestin serta menamatkan segala bentuk penindasan terhadap mereka.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Zulkifli turut mengajak rakyat Malaysia memperingati ulang tahun ke-31 tragedi pembunuhan beramai-ramai Srebrenica di Bosnia dan Herzegovina yang mengorbankan lebih 8,000 lelaki serta kanak-kanak Muslim etnik Bosniak pada Julai 1995.
Beliau berkata, tragedi itu menjadi peringatan bahawa masyarakat antarabangsa tidak boleh berdiam diri terhadap sebarang bentuk penindasan, pencabulan hak asasi manusia dan kekejaman yang berlaku ke atas umat Islam di mana-mana negara.
Dr. Zulkifli turut mengingatkan bahawa Malaysia mempunyai sejarah panjang dalam memperjuangkan nasib umat Islam Bosnia melalui usaha diplomatik dan bantuan kemanusiaan, termasuk membuka perlindungan kepada pelarian Bosnia, menyediakan peluang pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta menghantar lebih 10,500 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyertai misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Bosnia dan Herzegovina antara 1993 hingga 1998.
Beliau turut menyeru generasi muda menjadikan tragedi Srebrenica sebagai iktibar untuk menolak kebencian, perpecahan dan kezaliman, selain terus memperjuangkan nilai kemanusiaan, keamanan serta keadilan sejagat.