
BERGERAC, 12 Julai – Jarak perlumbaan peringkat kesembilan Tour de France dipendekkan sejauh 30 kilometer susulan cuaca ekstrem di wilayah Correze, tengah Perancis.
- Pihak berkuasa cuaca Perancis mengisytiharkan amaran merah akibat gelombang haba luar biasa.
- Penganjur ASO mengubah suai laluan peringkat Malemort ke Ussel untuk keselamatan pelumba.
- Walaupun jarak dipendekkan, keempat-empat pendakian kekal termasuk pendakian 4.8 km dan kecerunan purata 7.7%.
Keputusan itu dibuat selepas pihak berkuasa cuaca Perancis mengisytiharkan amaran merah berikutan gelombang haba yang luar biasa melanda wilayah berkenaan.
“Sehubungan itu, laluan bagi peringkat kesembilan Tour de France dari Malemort ke Ussel pada Ahad akan diubah suai,” menurut penganjur perlumbaan, Amaury Sport Organisation (ASO) dalam satu kenyataan.
“Keputusan ini perlu dibuat berikutan keadaan cuaca yang luar biasa.
“Ia bertujuan memastikan perlumbaan dapat diteruskan dalam keadaan yang selaras dengan amaran merah gelombang haba.”
Sebahagian besar perlumbaan Tour de France setakat ini berlangsung dalam suhu melebihi 35 darjah Celsius, malah beberapa peringkat mencatat suhu melebihi 40 darjah Celsius.
Keadaan itu menyebabkan setiap pasukan berdepan cabaran berterusan untuk memastikan pelumba mereka kekal sejuk dan mendapat bekalan air yang mencukupi.
Peringkat kesembilan pada asalnya dijadualkan merangkumi empat pendakian sepanjang laluan berbukit sejauh 185.5 kilometer.
Bagaimanapun, jarak perlumbaan dipendekkan kepada 155.5 kilometer selepas satu laluan berbukit di awal peringkat itu dikeluarkan daripada laluan asal.
Walaupun dipendekkan, keempat-empat pendakian itu kekal dalam laluan perlumbaan, termasuk satu pendakian sepanjang 4.8 kilometer dan satu lagi dengan kecerunan purata yang mencabar sebanyak 7.7 peratus. – AFP