
KUALA LUMPUR, 10 Julai – Festival FGV Holdings Berhad (FGV) berjaya menghimpunkan lebih 12,000 pengunjung yang berlangsung selama dua hari di pekarangan Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka pada 6 dan 7 Julai lalu.
- FGV memperkenalkan produk, perniagaan, inovasi dan teknologi agribisnes kepada warga peneroka dan masyarakat.
- Penyertaan FGV di Hari Peneroka FELDA 2026 mencerminkan kesinambungan sokongan terhadap pembangunan komuniti peneroka.
- Pengunjung berpeluang mengenali segmen perniagaan FGV seperti perladangan, minyak dan lemak, gula, logistik, sokongan dan produk pengguna.
- Pelancaran fasa baharu percubaan Biodiesel B100 disempurnakan Perdana Menteri untuk menilai prestasi teknikal dan operasi ladang sebenar.
Menurut FGV, penganjuran bersempena ulang tahun ke-70 FELDA itu membolehkan pihaknya memperkenalkan pelbagai produk, perniagaan, inovasi dan teknologi agribisnes kepada warga peneroka dan masyarakat.
“Sebagai sebahagian daripada kumpulan FELDA, penyertaan FGV di Hari Peneroka FELDA 2026 mencerminkan kesinambungan peranan kumpulan dalam menyokong pembangunan komuniti peneroka.
“Di festival ini, pengunjung berpeluang mengenali pelbagai segmen perniagaan termasuk perladangan, minyak dan lemak, gula, logistik dan sokongan serta produk pengguna,” menurut kenyataan itu.
Festival itu turut menampilkan reruai Felda Travel yang menerima sambutan menggalakkan dengan menawarkan pakej umrah mampu milik serendah RM5,555 seorang.
Kemuncak festival tersebut menyaksikan pelancaran fasa baharu percubaan Biodiesel B100 dalam operasi perladangan FGV yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Pelancaran tersebut menandakan langkah baharu FGV dalam memperluaskan percubaan Biodiesel B100 kepada operasi jentera perladangan bagi menilai prestasi teknikal dan operasinya dalam persekitaran ladang sebenar.
“Inisiatif ini menunjukkan komitmen FGV untuk terus menerajui inovasi dalam sektor agribisnes melalui penyelesaian yang menyokong agenda peralihan tenaga, kelestarian industri sawit serta keterjaminan makanan negara,” menurut kenyataan sama.