
KUALA LUMPUR, 10 Julai – Sebanyak 36 tren tambahan bagi Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) disediakan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
- Perkhidmatan tambahan dijalankan 10 hingga 12 Julai untuk menampung peningkatan penumpang pulang mengundi.
- Laluan KL Sentral - JB Sentral: 48 perjalanan, separuh merupakan tren tambahan; kapasiti tempat duduk digandakan kepada 15,120.
- Laluan Gemas - JB Sentral: kapasiti naik dari 630 kepada 4,410 dengan 12 perjalanan tambahan; 62% tempat duduk telah terjual.
- Diskaun: 30% untuk Gemas - JB - Gemas; Shuttle Selatan tawar potongan 50% untuk sambungan Johor Bahru, Kulai, Kempas, Pasir Gudang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azlan Shah Al Bakri berkata, perkhidmatan itu antara 10 hingga 12 Julai ini bagi menampung peningkatan permintaan penumpang yang pulang mengundi.
Ia melibatkan laluan KL Sentral – JB Sentral dan JB Sentral – Gemas.
“Sambutan yang diterima amat menggalakkan. Bagi laluan KL Sentral ke JB Sentral, 95 peratus tempat duduk telah habis dijual. Kami menyediakan sebanyak 48 perjalanan, dengan separuh daripadanya merupakan tren tambahan, manakala separuh lagi ialah perjalanan berjadual,” katanya.
Peningkatan kapasiti itu adalah sebahagian persiapan KTMB bagi memastikan kelancaran perjalanan penumpang sepanjang tempoh berkenaan.
Bagi laluan KL Sentral – JB Sentral, kapasiti tempat duduk digandakan daripada 7,560 kepada 15,120 sepanjang tempoh tersebut.
KTMB menjangkakan permintaan perkhidmatan ETS meningkat antara 30 hingga 40 peratus berbanding hujung minggu biasa.
KTMB turut meningkatkan kapasiti laluan Gemas – JB Sentral – Gemas daripada 630 kepada 4,410 tempat duduk menerusi penyediaan 12 perjalanan tambahan, menjadikan keseluruhan 14 perjalanan sepanjang tempoh berkenaan.
Setakat jam 4 petang tadi, sebanyak 62 peratus daripada kapasiti laluan itu telah terjual.
KTMB turut menawarkan diskaun tambang 30 peratus bagi laluan Gemas – JB Sentral – Gemas sepanjang tempoh 10 hingga 12 Julai ini.
Selain itu, perkhidmatan Shuttle Selatan yang menghubungkan Johor Bahru, Kulai, Kempas dan Pasir Gudang turut menawarkan potongan tambang 50 peratus.