
GENEVA, 9 Julai – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menggesa supaya pertempuran di timur Congo antara pasukan tentera negara itu dan militia M23 dihentikan serta-merta.
- M23 yang disokong Rwanda menawan kawasan luas di timur Congo sejak muncul semula pada 2021.
- Pertempuran menggunakan dron bersenjata, artileri berat dan letupan lain di kawasan berpenduduk menyebabkan kematian, kecederaan, pemindahan dan kerosakan sumber hidup.
- Pertempuran meningkat di Fizi dan Mwenga, wilayah South Kivu, yang turut terjejas oleh wabak Ebola daripada virus Bundibugyo.
Kumpulan bersenjata M23 yang disokong Rwanda telah menawan kawasan yang luas sejak muncul semula pada 2021 di timur Congo, sebuah wilayah yang dilanda konflik selama lebih 30 tahun.
Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk menegaskan, beliau kesal dengan kesan pertempuran terbaharu terhadap orang awam.
“Amat membimbangkan walaupun terdapat perjanjian yang dicapai sebagai sebahagian daripada proses damai yang sedang berlangsung, namun pertempuran masih berterusan tanpa henti di timur Congo.
“Konflik itu telah mengorbankan nyawa, mencederakan dan menyebabkan orang awam kehilangan tempat tinggal serta memusnahkan sumber kehidupan.
“Saya menggesa angkatan tentera Congo dan M23 supaya segera menghentikan keganasan serta mengambil tindakan segera bagi meredakan ketegangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau memaklumkan, berlaku peningkatan pertempuran antara angkatan bersenjata Congo dengan M23 di wilayah Fizi serta Mwenga, dalam wilayah South Kivu, sejak dua minggu lalu.
Kedua-dua pihak menggunakan dron bersenjata, artileri berat dan senjata letupan lain di kawasan berpenduduk, menyebabkan ramai orang awam terbunuh dan yang lain cedera, manakala ternakan serta kediaman turut musnah.
Turk berkata, pertempuran sengit berlaku di sekitar kampung Mulima di Fizi pada 4 dan 5 Julai.
South Kivu merupakan salah satu daripada empat wilayah di timur Congo yang terjejas akibat wabak Ebola maut yang sedang berlaku, berpunca daripada spesies virus Bundibugyo. – AFP