
PUTRAJAYA, 9 Julai – Malaysia-Thailand bersepakat untuk terus memperkukuh jaringan kesalinghubungan kedua-dua negara menerusi pelaksanaan beberapa projek infrastruktur strategik yang dijangka merancakkan pertumbuhan ekonomi bersama.
- Pembukaan laluan baharu antara ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao sebagai pencapaian penting.
- Perbincangan untuk pembinaan jambatan kedua Malaysia-Thailand dan cadangan jambatan Rantau Panjang Sungai Golok sedang berjalan.
- Projek infrastruktur dijangka merancakkan ekonomi sempadan, memberi manfaat kepada Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selatan Thailand dan Kelantan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara pencapaian penting yang dicapai ketika ini adalah laluan baharu yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand.
Datuk Seri Anwar turut memaklumkan, kedua-dua negara dalam proses perbincangan bagi pembinaan jambatan kedua Malaysia-Thailand, serta projek jambatan Rantau Panjang-Sungai Golok yang kini pada peringkat cadangan.
“Kami mahu semua projek ini dapat dilaksanakan dengan segera. Kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan mengenainya dan saya melihat ia sebagai satu perkembangan yang amat positif dan memberi manfaat besar kepada kawasan di Perlis, Kedah serta Pulau Pinang.
“Selain itu, jambatan Sungai Golok-Rantau Panjang pula akan memberi tumpuan kepada keperluan penduduk dan pembangunan ekonomi di Selatan Thailand serta Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama bersempena lawatan rasmi Perdana Menteri Thailand ke Malaysia di Bangunan Perdana Putra, hari ini.
Dalam sidang media tersebut, Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul turut menyatakan komitmen untuk memperkukuh agenda integrasi ekonomi serantau menerusi pembinaan infrastruktur strategik dan laluan baharu.
Jelasnya, kerjasama berterusan dalam aspek kesalinghubungan berupaya merangsang pertumbuhan ekonomi di kawasan sempadan.
Majlis penyempurnaan laluan baharu antara ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao dijadual berlangsung esok.