
LIPIS, 7 Julai – Cubaan seorang lelaki meloloskan diri daripada sekatan jalan raya gagal apabila kereta yang dipandunya terbabas dan melanggar sebuah tangki air di hadapan sebuah kedai makan di Kilometer 23 Jalan Lipis-Merapoh, di sini petang semalam.
- Pemandu 45 tahun bersama lima penumpang warga Myanmar sedang menuju Kuala Lumpur dari Kelantan ketika insiden berlaku, menurut polis.
- Kenderaan memecut laju selepas enggan berhenti di sekatan jalan raya, kemudian hilang kawalan kira-kira lima kilometer kemudian.
- Pemandu dan dua penumpang cedera dan ditahan untuk membantu siasatan; tiga lagi penumpang yang melarikan diri diberkas di ladang pagi ini.
- Kes disiasat bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Akta Imigresen dan Akta Dadah Berbahaya.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, lelaki berusia 45 tahun terbabit bersama lima penumpang warga Myanmar dipercayai dalam perjalanan dari Kelantan menuju ke Kuala Lumpur.
Siasatan awal mendapati kenderaan itu bertindak memecut laju selepas enggan berhenti untuk pemeriksaan di sekatan jalan raya di lokasi tersebut.
Bagaimanapun, kira-kira lima kilometer kemudian, kereta terbabit hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tangki air di hadapan sebuah kedai makan di tepi jalan.
Akibat kemalangan itu, pemandu dan dua penumpang warga Myanmar mengalami kecederaan sebelum ditahan bagi membantu siasatan.
Tiga lagi penumpang juga warga Myanmar terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita yang melarikan diri berjaya diberkas pagi ini di sebuah ladang kira-kira dua kilometer dari lokasi kemalangan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 55E, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.