China pertingkat amaran banjir di Guangxi susulan taufan Maysak

Amaran banjir di Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang dipertingkat / Foto AFP

BEIJING, 6 Julai – China meningkatkan tahap tindak balas kecemasan banjir di Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang daripada Tahap IV kepada Tahap III pada Isnin susulan hujan lebat berterusan akibat Taufan Maysak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hujan lebat sejak 3 Julai menyebabkan banjir serius di beberapa kawasan.
  • Ramalan cuaca menjangka hujan lebat berterusan 6 hingga 8 Julai, menyukarkan usaha kawalan banjir.
  • Wilayah Anhui dan Shandong mengaktifkan tindak balas kecemasan banjir Tahap IV.
  • Hujan dijangka berterusan di selatan serta kawasan tengah dan hilir Sungai Yangtze; utara juga lebih kerap dan lebat.

Kementerian Pengurusan Kecemasan China memaklumkan, hujan lebat yang melanda Guangxi sejak 3 Julai telah menyebabkan banjir serius di beberapa kawasan.

Menurut ramalan cuaca, hujan lebat dijangka berterusan dari 6 hingga 8 Julai, sekali gus menyukarkan usaha mengawal banjir.

Berikutan itu, Ibu Pejabat Kawalan Banjir dan Bantuan Kemarau Negara menaikkan tahap tindak balas kecemasan di Guangxi kepada Tahap III.

Pada hari yang sama, pihak berkuasa turut mengaktifkan tindak balas kecemasan banjir Tahap IV di wilayah Anhui dan Shandong di timur China berikutan hujan lebat.

Semalam, Ibu Pejabat Kawalan Banjir dan Bantuan Kemarau Negara bersama Kementerian Pengurusan Kecemasan mengadakan mesyuarat penyelarasan dengan beberapa agensi berkaitan.

Mereka memaklumkan bahawa hujan lebat akibat Taufan Maysak dijangka berterusan di selatan China serta kawasan tengah dan hilir Sungai Yangtze.

Pada masa sama, hujan di utara China dijangka menjadi lebih kerap dan lebih lebat.

China menggunakan sistem tindak balas kecemasan empat peringkat bagi menghadapi bencana, dengan Tahap I merupakan amaran paling tinggi. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.