
PASIR MAS, 5 Julai – Seorang buruh dipenjara empat tahun dan didenda RM6,000 atas dua pertuduhan menculik seorang individu serta mencuri sebuah kereta di Tendong bulan lepas.
- Tertuduh mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan di Mahkamah Sesyen.
- Didakwa menculik Mohd Shahrul Nizam dengan niat mengurung secara rahsia di sebuah rumah di Tendong pada 6 Jun; turut melibatkan tiga individu lain.
- Didakwa mencuri sebuah kereta milik Mohd Taufik pada masa dan tempat sama, di bawah Seksyen 379(1) dan dibaca bersama Seksyen 34.
Keputusan Hakim Mahkamah Sesyen, Zulkpli Abdullah itu selepas tertuduh, Mohamad Syamsul Azroy Che Anuar, 32 tahun, mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan.
Mengikut pendakwaan pertama, tertuduh bersama dengan tiga lagi individu yang masih bebas menculik Mohd Shahrul Nizam Mohd Asri, 35 tahun, dengan niat mangsa dikurung secara rahsia dan salah dalam kejadian di sebuah rumah di Tendong,pada 3.30 petang, 6 Jun lalu.
Atas pertuduhan berkenaan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh bersama tiga individu yang masih bebas mencuri sebuah kereta kepunyaan Mohd Taufik Mohd Asri, 25 tahun, di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 379(1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyha Na’ilah Harizan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.