Cedera jatuh kerusi : Remaja gagal saman RM1 juta

Peguam plaintif, Sofian Azmir / Foto RTM

SHAH ALAM, 18 September – Mahkamah Tinggi hari ini menolak saman RM1 juta yang difailkan sebuah keluarga berhubung kecederaan tulang belakang seorang remaja perempuan selepas terjatuh akibat kerusinya ditarik seorang rakan, tiga tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ibu bapa memfailkan saman terhadap enam defendan termasuk guru, guru besar, Kementerian Pendidikan dan Kerajaan atas dakwaan kecuaian.
  • Mahkamah mendapati plaintif gagal buktikan unsur kecuaian; insiden berlaku terlalu pantas untuk dijangka atau dicegah.
  • Remaja berusia 11 tahun di program pendidikan khas mengalami komplikasi kecederaan tulang belakang selepas kerusi ditarik seorang kenalan.

Saman itu difailkan bapa remaja berkenaan, Wan Amey Shahril Wan Ab Rahman, 39 tahun, bagi pihak dirinya, isteri dan anak perempuan mereka terhadap enam defendan, iaitu tiga guru, guru besar, Kementerian Pendidikan dan Kerajaan Malaysia atas dakwaan cuai sehingga menyebabkan kecederaan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Anita Harun memutuskan plaintif gagal membuktikan unsur kecuaian pihak defendan yang menjadi punca kejadian.

Mahkamah berpendapat, insiden berlaku terlalu pantas untuk dijangka atau dicegah guru yang berada di lokasi ketika perkara tersebut terjadi.

Dalam prosiding itu, semua defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Afiq Nazrin Zaharinan, manakala kedua-dua plaintif diwakili peguam Soffian Azmir.

Sementara itu, peguam plaintif, Sofian Azmir berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan dan akan mengemukakan rayuan dalam masa terdekat.

Katanya, pihaknya berpandangan terdapat beberapa hujah yang tidak ditegaskan atau dinyatakan dalam penghakiman, selain mengambil kira keperluan pemantauan terhadap individu berkeperluan khas.

Menurut rekod, kejadian berlaku pada 12 Oktober 2023 ketika remaja berusia 11 tahun itu menghadiri program pendidikan khas di sebuah sekolah rendah di Shah Alam.

Dia dilaporkan mengalami komplikasi kecederaan tulang belakang selepas terjatuh apabila kerusi yang hendak didudukinya ditarik seorang kenalan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.