
KLUANG, 18 September – Seorang penuntut universiti di Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kluang hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu hingga menyebabkan kemalangan meragut empat nyawa sekeluarga, Jun lalu.
- Didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM15,000 jika sabit.
- Mahkamah membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin; tertuduh perlu melapor diri di balai polis sebulan sekali.
- Sebutan semula kes ditetapkan pada 20 November; pendakwaan dan pembelaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya serta peguam pembela.
Goh Yi Zun, 19 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Norashidah A. Rahman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kereta dalam keadaan membahayakan pengguna jalan raya lain di Kilometer 27, Jalan Renggam-Simpang Renggam, kira-kira jam 1.19 tengah hari, 1 Jun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM15,000 jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Noratini Nik Azam, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Daud Ismail dan Hang Lee Ying.
Terdahulu, Nik Noratini menawarkan ikat jamin RM20,000 namun pihak pembelaan merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan mengambil kira tertuduh adalah pesalah muda.
Mohd Daud turut memberitahu mahkamah, tertuduh kini mengikuti diploma pengajian perniagaan di Singapura.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.
20 November pula ditetapkan untuk sebutan semula kes.