
KUALA LUMPUR, 18 September – Kerajaan disaran memperhalusi kriteria kelayakan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menjelang pembentangan Belanjawan 2027.
- Golongan M40 berpendapatan RM5,000 turut terkesan oleh peningkatan kos sara hidup.
- Cadangan menaikkan had pendapatan bagi isi rumah RM5,000 ke atas yang mempunyai ramai tanggungan.
- Perhalusan kriteria STR dan SARA disaran untuk meringankan beban keluarga berpendapatan sederhana.
- Peningkatan peruntukan daripada RM9 bilion kepada RM22 bilion menunjukkan komitmen berterusan kerajaan terhadap kebajikan rakyat.
Pensyarah Ekonomi Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor Kampus Segamat, Dr. Juliana Mohamed Abdul Kadir berkata, ia termasuk mengambikira golongan M40 yang turut terkesan dengan peningkatan kos sara hidup semasa, selain mempunyai ramai tanggungan.
“Golongan M40 yang berpendapatan RM5,000 juga sebenarnya turut terkesan. Justeru, bagi Belanjawan 2027, kita berharap kerajaan dapat memperhalusi kriteria kelayakan dengan mempertimbangkan peningkatan had pendapatan bagi isi rumah berpendapatan RM5,000 ke atas yang mempunyai tanggungan yang ramai.
“Langkah ini sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri Kota Media, di sini hari ini.
Berkenaan peningkatan peruntukan STR dan SARA daripada RM9 bilion dalam Belanjawan 2025 kepada RM22 bilion bagi Belanjawan 2026, Dr. Juliana berpandangan ia menunjukkan komitmen berterusan kerajaan dalam memelihara kebajikan rakyat.