
DUNGUN, 5 Julai – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar memasang perangkap ketam di kawasan paya dekat Kampung Tebing Tembah, di sini, sejak pagi semalam, ditemukan meninggal dunia hari ini.
- Mayat Mohd Afiq Ahmad, 36, ditemukan tertiarap pada akar pokok di alur Sungai Dal kira-kira pukul 10 pagi.
- Operasi SAR dilancarkan melibatkan 26 anggota dan penduduk kampung; mayat ditemui kira-kira sejam selepas mula, 150 meter dari Pos Kawalan.
- Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Mayat Mohd Afiq Ahmad, 36 tahun, ditemukan dalam keadaan tertiarap pada akar pokok di kawasan berpaya di alur Sungai Dal kira-kira pukul 10 pagi.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat mengesahkan penemuan mayat mangsa ketika dihubungi RTM.
Beliau berkata, mangsa dipercayai keluar dari rumah seorang diri kira-kira pukul 10 pagi semalam untuk memasang perangkap ketam di kawasan paya berkenaan.
Menurutnya, mangsa bagaimanapun tidak pulang untuk makan tengah hari sebelum ahli keluarganya bertindak mencarinya di sekitar lokasi kejadian.
“Polis menerima laporan mengenai kehilangan mangsa pada pukul 11.45 malam semalam.
“Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan pada pukul 9 pagi tadi membabitkan 26 anggota daripada pelbagai agensi bersama penduduk kampung,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa ditemukan kira-kira sejam selepas operasi SAR dimulakan, iaitu pada jarak kira-kira 150 meter dari Pos Kawalan Tempat Kejadian.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.